Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ziarah Suami Bertugas di SJR, Isteri Dikenakan Kompaun RM2,000

Maliah Surip
16/05/2021 16:20 MYT
Isteri anggota polis yang menziarahi suaminya yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya pada Hari Raya pertama dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata kompaun itu dikeluarkan semalam di bawah Peraturan 21 (PU A 225/20212) Ziarah Hari Raya Raya Aidilfitri (No 21 Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana pelanggaran SOP PKP dengan menziarah suami di SJR.

Menurutnya, pada awalnya perbuatan tersebut dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

"Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu dan pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada Hari Raya atau hari biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tular di media sosial gambar isteri bersama tiga orang anak berumur 11 tahun, 10 tahun dan lima tahun melawat suaminya yang juga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Perkara itu berlaku pada 13 Mei, kira-kira 1 tengah hari di SJR Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil dan mengundang pelbagai reaksi.

Mengenai dakwaan keluarga anggota polis itu menaiki kenderaan melebihi had tiga orang bagi sesebuah kenderaan, Mohd Fadzil berkata siasatan lanjut mendapati mereka datang menaiki dua kenderaan berbeza dan tiada kompaun dikenakan.

"Pihak polis tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota PDRM sendiri," katanya.

Sumber&Foto: BERNAMA
#Polis #Aidilfitri #SOP #Kompaun #SJR #Ziarah Raya
;