SUKAN

Zii Jia Tarik Diri Terbuka Jepun

Gempak 07/07/2025 | 06:36 MYT
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sah menarik diri daripada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 yang akan berlangsung 15 hingga 20 Julai ini.

Perkembangan terbaharu itu dipaparkan di laman sesawang Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang memaklumkan pemain berusia 27 tahun berkenaan tidak akan beraksi di kejohanan tersebut, namun hingga kini tiada kenyataan rasmi daripada Team LZJ mengenai penarikan diri itu.

Zii Jia mengalami kecederaan buku lali semasa Jelajah Akhir Dunia pada Disember lepas dan kembali bertanding pada Mac di Orleans Masters tetapi terkandas di suku akhir selepas tewas kepada pemain Ireland, Nhat Nguyen 23-21, 21-7.


Beliau kemudian beraksi di Kejohanan Seluruh England 2025 di Birmingham dari 11-16 Mac yang menyaksikan Zii Jii tersingkir di pusingan pertama kepada wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, 21-19, 16-21, 12-21.

Pemain ranking kelapan dunia itu kemudian menarik diri daripada menyertai Terbuka Swiss 2025 berlangsung di Basel, Switzerland pada 18-23 Mac lepas, susulan kecederaan buku lali tersebut.


Sabtu lepas, Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Zii Jia berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan mengenai tindakannya berkongsi beberapa lakaran misteri di media sosial pada Jumaat.


Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya, selain Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sudah menghubungi Team LZJ bagi mendapatkan kepastian mengapa pemain itu bertindak sedemikian.


Hantaran misteri dibuat Zii Jia kini mengumpul lebih 131,000 tanda suka dan lebih 3,000 komen sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai maksud di sebalik perkongsian berkenaan termasuk wujud dakwaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mungkin sedang berdepan masalah kesihatan peribadi atau mental.


Sumber: Astro AWANI Menerusi BERNAMA

#badminton #Terbuka Jepun #Zii Jia