Zizan Razak, Hun Haqeem, Anna Jobling & Personaliti Radio Zayan Santuni Warga Emas Pusat Jagaan Mahmudah
Sebagai peneraju industri hiburan di Malaysia, Astro menerusi stesen radio Zayan telah menganjurkan program berbuka puasa bersama warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah menerusi inisiatif ‘Zayan Kongsi Rezeki’.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk pengagihan 1,500 pek bubur lambuk kepada masyarakat setempat serta menyantuni warga emas yang menghuni pusat jagaan tersebut.
Penyampai radio Zayan, Nana Mahazan meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menjayakan program yang penuh makna ini.
"Program ini sedikit sebanyak meningkatkan kesedaran kepada umum bahawa masih ada golongan warga emas yang kurang bernasib baik dalam kehidupan mereka.
"Bila kita bertemu dan mendengar cerita mereka, hati ini sangat tersentuh. Timbul persoalan, bagaimana ada anak-anak yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka? Sebagai media, kita perlu meningkatkan kesedaran agar perkara ini tidak terus berlaku.
"Hakikatnya, masih ramai warga emas yang ditinggalkan, termasuk di hospital-hospital. Sebagai komuniti, kita boleh memainkan peranan dengan bersedekah, membantu mereka yang memerlukan, atau sekadar datang berborak untuk menghiburkan mereka," katanya.
Turut hadir memeriahkan program adalah pelakon dan penyanyi, Zizan Razak yang berkongsi rasa gembira dapat bersama-sama menyantuni warga emas dalam program ini.
"Ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya di bulan Ramadan. Bila dijemput untuk mengagihkan bubur lambuk dan bertemu warga emas di sini, saya anggap ini satu rezeki.
"Dapat mendengar kisah mereka memberikan banyak pengajaran, bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada orang ramai. Ia satu perkara yang baik dan saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripadanya," kata Zizan.
Selain Nana Mahazan dan Zizan Razak, beberapa selebriti lain turut hadir bagi memeriahkan program dan menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah. Antaranya, Hun Haqeem, Anna Jobling, Alif Satar, Faizal Ismail, Lin Ariffin, Anas Tahir dan Farhira.
Tidak ketinggalan, penyampai radio dari pelbagai stesen turut serta, termasuk Ili (Hitz), Hani (Mix), dan Leya (Lite).
Program ini juga mendapat sokongan daripada 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka bersama-sama bergotong-royong dengan wakil Zayan dan Pusat Jagaan Mahmudah untuk menyediakan hidangan bubur lambuk ayam dan daging sejak awal pagi.
Proses memasak bermula seawal jam 9.00 pagi, sebelum bubur lambuk tersebut diagihkan kepada masyarakat setempat bermula jam 4.30 petang sebagai persediaan berbuka puasa.