Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Zizi Kirana Kongsi Detik Cemas Berdepan Letupan Bom Di Syria - “Pesan Pada Suami, Sekiranya Saya Syahid Ampunkan Salah Silap…”

Mya Amri
21/05/2024 09:55 MYT
Penyanyi Zizi Kirana berkongsi detik cemas berdepan dua insiden pengeboman ketika menjalankan misi bantuan kemanusiaan di wilayah Azaz, Syria pada akhir Mac lalu.

Dikepung tentera Syria dan Turki

Menurut Zizi, kejadian berlaku pada malam hari pertama tiba di Syria bersama seorang rakan, dua kakitangan pertubuhan Cinta Syria Malaysia dan seorang juruvideo.

“Masa itu kita buat misi menghantar bantuan ke Syria di daerah Azaz. Bila dah selesai kami pergi ke sebuah pasar untuk mencari barang bagi misi seterusnya.

“Sebelum kejadian saya merakam video sekitar kawasan pasar sebagai momen kerana itu satu-satunya pasar yang ada di wilayah terbabit.

“Tiba-tiba ada orang kejar dan meminta untuk memadamkan semua video yang telah diambil. Setelah berpuas hati video dipadamkan kami dilepaskan.

“Kemudian belum separuh perjalanan, askar Syria dan Turki kepung dan meminta kami untuk keluar dari tempat tersebut,” katanya.


Zizi berkongsi perkara itu ketika ditemui di konsert minggu kedua The Hardest Singing Show yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.


Dua letupan bom

Jelas Zizi lagi, mereka kemudiannya dibawa ke pangkalan tentera Syria oleh askar tempatan dan Turkiye untuk disiasat.

Ketika berada di pangkalan dia terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum kesemuanya dibawa ke bilik bawah tanah oleh tentera.

“Memang gementar melihat kereta kebal besar besar dan kami hanya mampu berdoa. Saya sempat mesej suami, maklumkan padanya yang kami ditahan oleh tentera Syria dan Turki.

“Tiba-tiba terdengar letupan bom dan tentera itu kemudiannya suruh kami lari masuk bilik bawah tanah untuk berlindung.

“Selepas masuk bilik keselamatan, kedengaran satu lagi letupan. Kemudian, kami Kami diberitahu pasar yang kami pergi tadi itu telah dibom.


“Rasa gegaran letupan bom itu menusuk hingga ke jantung. Bayangkan kuatnya macam mana. Kami berdoa Ya Allah selamatkanlah kami. Tetapi pada ketika itu sebenarnya kami sudah reda.

Mohon maaf pada suami jika syahid


Mengulas lanjut, Zizi berkata insiden tersebut juga turut mencetuskan rasa panik kepada keluarga dan juga suaminya iaitu pelakon Yusuf Bahrin yang ketika itu berada di Mekah.

“Masa itu saya mesej suami dan meminta maaf supaya dihalalkan makan dan minum. Saya cakap pada suami sekiranya saya syahid, ampunkan salah silap saya.


“Apa yang saya boleh buat adalah berdoa, berserah kepada Allah agar diberi perlindungan dan reda dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” jelasnya.

Insiden letupan bom itu telah meragut lapan nyawa dan seramai 40 orang cedera parah.

Zizi bersama yang lain ditempatkan di dalam bilik bawah tanah di pangkalan tentera itu kira-kira satu jam sebelum dibenarkan pulang ke pejabat organisasi Cinta Syria Malaysia dengan menaiki van.

Bagaimanapun selepas kejadian reda, Zizi bersama pasukannya meneruskan kembali misi bantuan kemanusiaan selama enam hari di negara itu.

#Letupan #Syria #Bom #Zizi Kirana #Pengeboman #Misi Bantuan #Detik Cemas #Syahid #Letupan Bom
;