Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri telah menemui penonton dengan episod ketujuh iaitu Husin Kembali Bersama Zombi Part 2 pada malam Isnin.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod kali ini menampilkan Datuk Awie yang sinomin dengan watak Husin di dalam filem-filem Kampong Pisang terdahulu.

Kemunculan Husin yang pulang bercuti ke Kampong Pisang selama seminggu amat dinanti-nantikan selepas penduduk kampung diganggu serangan Zombi.

Penduduk kampung mula berpakat mencari sebab tercetusnya ‘pengzombian’ dan ternyata berpunca daripada perbuatan khianat seorang penduduk yang memberi air tercemar untuk diminum.

Bagi penduduk kampung yang bertukar menjadi zombi, Husin menemui jalan penyelesaiannya apabila memberikan air garam pada makhluk ini kembali normal.

Meninjau ke ruangan komen, ramai wargamaya yang tehibur melihat aksi Awie dibantu penduduk kampung memerangi masalah zombi.

“Eee zombie pun pun helokkk ek hahaha,” komen seorang wargamaya.

“zombie pun sempat lagi nak fikir kemaskan diri sendiri. haha,” kata seorang wargamaya.

“Terhibur dgn org tua misai ni dalam #KampongPisangBersiriSiri. Penat dia hafal skrip,” tulis seorang wargamaya.

“Zombi kampong pisang pun dah pandai buat perjumpaan MLM. Zombi 2021,” usik seorang wargamaya.

“Bestnya #KampongPisangBersiriSiri malam ni sebab ada Awie! Husin mai kampong pisang oiii,” puji seorang wargamaya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).