Hiburan
Zubir Khan Belum Terfikir Menyanyi Lagu Melayu -"Bukan Tak Minat Tapi..."
Zubir Khan Belum Terfikir Menyanyi Lagu Melayu -"Bukan Tak Minat Tapi..."
Penyanyi Zubir Khan mengakui dia belum berhasrat untuk menyanyi atau menghasilkan lagu Melayu dalam masa terdekat.
Menurut Zubir, perancangan berkolaborasi dengan penyanyi terkenal India, HipHop Tamizha disifatkan sebagai peluang yang tidak wajar disia-siakan.
"Saya perlu jadi tamak. Kerana bagi saya, kalau saya tidak tamak saya seolah-olah melepaskan peluang yang ada depan mata.
"Setakat ini saya memang belum terfikir untuk nyanyi lagu-lagu Melayu. Bukan tak minat tapi belum masa.
"Bila sudah tiba waktu Insya-Allah saya akan menyanyi lagu Melayu, buat masa sekarang saya kena rebut peluang yang ada dahulu," ujarnya.
Zubir berkata demikian ketika ditemui di majlis XO House x High Cultured House Party, di Bantley Music Auditorium, Petaling Jaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Muhammad Zubir Mohamad Ali menganggap kerjasama bersama penyanyi terkenal Tamizha itu mampu melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa.
"Saya yakin dengan peluang yang diberikan ini, dia bukan sahaja memberi kelebihan buat diri saya.
"Tetapi nama Malaysia juga pastinya dikenali kerana kita mempunyai wakil yang boleh menyanyi versi Tamil," katanya.
Zubir pernah mencetuskan fenomena di media sosial menerusi lagu Tamil berjudul Yennado Macha.
Selain itu, Zubir juga menjadi pilihan juri untuk menerima Anugerah Muhibbah bagi tahun lalu.
Zubir turut dipilih menerima anugerah itu sebagai mengiktiraf semangat muhibah yang ditonjolkan melalui lagu-lagu Tamil ciptaannya.