Penyanyi popular Datuk M.Nasir menerima pelawaan daripada duo hip hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta untuk berkolaborasi dalam single terbaharu, Zuhud.

Pastinya, kesudian figura muzik terkenal ini untuk berkolaborasi dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta membuktikan bahawa lagu ini mempunyai nilai estetik tersendiri.

"Kami cuba terapkan mesej tersirat dan tersurat menerusi karya kami dan lagu Zuhud ini merupakan pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara, dan berbaliklah kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di alam akhirat.

"Saya dan Luca bersyukur kerana lirik lagu Zuhud yang ditulis sepenuhnya oleh kami ini diterima baik Datuk M.Nasir.

"Ia satu penghormatan buat kami kerana berpeluang berkolaborasi dengan lagenda muzik terkenal tanahair," kata Kmy Kmo.

Zuhud merupakan hasil ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta bersama M.Nasir yang menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan.

Judul dan lirik lagu ini mengangkat sebuah konsep yang sinonim dalam Islam, Zuhud, iaitu untuk tidak meletakkan kepentingan kepada dunia semata-mata tetapi lebih mengutamakan alam akhirat dalam kehidupan sehari-hari.

Muzik video Zuhud telah dilancarkan di platform YouTube Universal Music Malaysia dan dibintangi pelakon Azri Iskandar.