Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Zul Ariffin Kongsi Cabaran Bawa Watak Doktor Dalam Juang; “Saya Perlu Ikut Prosedur Sebenar”

Shahrin Zulkifle
06/09/2022 10:30 MYT
Pelakon Zul Ariffin mendedahkan antara cabaran terbesar dalam filem Juang adalah dia perlu memastikan watak seorang doktor yang dibawanya mengikuti prosedur yang sebenar sebagai seorang pegawai perubatan.

Tambah Zul, dengan bantuan pasukan medik yang ada di lokasi penggambaran, serba sedikit dapat membantu dirinya berkenaan prosedur tersebut.

“Cabaran yang saya hadapi adalah lebih kepada prosedur sebagai seorang doktor yang saya perlu ikut supaya tidak bercanggah dengan tanggungjawab sebenar sebagai seorang pegawai perubatan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan medik yang membantu saya untuk pastikan lakonan sebagai seorang doktor itu saya mampu bawa dengan baik.

“Mereka juga membantu saya berkenaan penggunaan bahasa yang diguna pakai oleh doktor sebenar agar tidak terlalu formal dan nampak lebih kasual. Alhamdulillah terima kasih kepada mereka,” ujarnya ketika ditemui Gempak.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya tentang idea menggabungkan lima orang pengarah dalam sebuah filem, dia berasa sangat bersyukur apabila dia menjadi sebahagian daripada sejarah yang dicipta itu.

“Cantuman beberapa pengarah dalam sebuah filem atau drama bukanlah pertama kali, pernah dilakukan oleh beberapa produksi dalam dan luar negara.

“Cuma apa yang saya boleh katakan, saya pasti merasa bangga pada 30 tahun akan datang jika saya melihat kembali pernah terlibat secara langsung dalam filem yang mempunyai penglibatan ramai pengarah,” tambahnya lagi.

Selain Zul, Juang yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 8 September depan turut dibintangi barisan pelakon tanah air lain seperti, Janna Nick, Zizan Razak, Izzue Islam, Sangeeta, Angelin Tan, Vanidah Imran, Datuk Romsyam Nor dan ramai lagi.

Sinopsis:

Juang bakal mengangkat kisah perih getir para pemain barisan hadapan atau frontlines termasuk polis, doktor, jururawat, tentera serta penghantar makanan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin.

#Zizan Razak #Zul Ariffin #Izzue Islam #Janna Nick #Juang
;