Zul Handy Black Gigih Berdakwah, Tapi Dedah Ada Yang 'Panas Hati' - "Kau Pun Dulu Teruk Juga"

ZULHILMI JALIL
Oktober 12, 2020 02:45 MYT
Penyanyi rock, Zul Handy Black mendedahkan bahawa terdapat pihak yang seolah-olah tidak senang dengan tindakannya dalam membuat teguran demi satu kebaikan.
Menurut Zul dia terkilan apabila niatnya untuk mengajak orang sekeliling ke arah yang lebih baik sering disalah erti.
"Bila tegur, banyak respons yang berbunyi, 'macam kau sorang masuk syurga','kubur masing-masing, 'kau pun dulu teruk juga',' siapa kau nak tegur orang' dan macam-macam lagilah.
"Aku buat sebab Nabi SAW suruh buat kerja dakwah. Sampaikan walaupun sebaris ayat. Dakwah datang dengan pelbagai gaya, corak, bentuk dan kaedah. Sahabat Nabi, ada yang berlembut, ada yang berkeras," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam satu posting berasingan di Instagram Story, Zul mengakui mungkin caranya agak kasar dalam berdakwah.
"Memang mulut aku kasar bila menegur, tapi ingatlah seksa neraka Allah lagi kasar," tulisnya.
Begitupun, katanya, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim sahaja, terpulang untuk mereka sama ada mahu menerimanya dengan cara positif atau pun tidak.
"Yang nak terima walaupun telinga bernanah dan hati berdarah, tu tandanya iman masih ada, dan Allah masih sayang, nak kita berubah ke arah yang lebih baik.
"Yang taknak terima tu...baiklah, aku bukan nak merampas keseronokan korang, tapi nanti, di akhirat, jangan aku dituntut apa apa lagi sebab di dunia ni, aku dah cuba dan berusaha jalankan tanggungjawab aku.
"Niat aku tak ada lain. Selain daripada nak ajak seramai manusia untuk sama-sama berusaha untuk ke syurga Allah. Niat dakwah," katanya.
Begitupun, Zul tidak mendedahkan isu berkaitan mengenai tindakannya yang membuat teguran itu.
Bagaimanapun, terdahulu, dalam satu posting berasingan di Instagram Story, Zul turut ada menegur hal berkaitan cabaran lagu Empat Dara yang tular.
Sebelum ini, Zul dikatakan mula melakukan penghijrahan selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.
#Penyanyi #Penyanyi #Dakwah #Zul Handy Black