Berita
Zynakal Cerita Tentang Penyakitnya, Bipolar Mania: "Mati Bukan Pilihan"
Zynakal menjadi sepotong nama yang disebut sebut lewat kebelakangan ini dengan karya dan kolaborasinya yang menjadi.
Antara yang cukup meledak sejak tahun lalu adalah lagu Sakit, yang dibikin bersama sahabat baiknya, Yonnyboii.
Sakit, sebuah lagu yang dibikin atas inspirasi mengenai kesihatan mentalnya. Ia juga dijadikan 'mantera' semangat khas dari Yonnyboii buat Zynakal yang didignos dengan Bipolar Mania pada tahun 2019.
Berkongsi mengenai penyakitnya, anak saudara vokalis Slam, Zamani ini mengaku pada awalnya tidak mengerti mengenai perubahan sikap yang dialaminya.
Mengasingkan diri, berasa down dan begitu sensitif, dianggap biasa. Sehingga kejadian dirinya menyerang seorang pekerja stesen minyak pada September dua tahun lalu, didenda atas perlakuan 'ganasnya' itu, sehingga akhirnya menerima rawatan di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur sebagai salah seorang pesakit yang mengalami gangguan mental dengan 'gelaran' Bipolar Mania.
"Tapi itu bukan tiket untuk saya lakukan sesuka hati. Saya tidak mahu menjadikan penyakit atau Bipolar Mania ini sebagai sebuah escapism," begitu kata Zynakal saat ditemui Gempak sewaktu menjadi tetamu bagi sebuah program online bulan lalu.
Komposer berbakat besar yang giat mempromosikan single terkininya, Perasaan mengaku kondisi kesihatannya semakin baik saat ini.
"Alhamdulilah, kesihatan saya semakin baik. Saya pastikan makan ubat, walaupun tak sekerap dulu dan yang penting hidup dikelilingi orang yang positif," akuinya.
Malah lelaki berusia 22 tahun yang penuh falsafah dan bicaranya tersusun ini sempat menitipkan pesan buat golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental.
"Saya faham ada dalam kalangan pesakit ini memilih untuk mati. Tapi mati bukan pilihan. Hidup mati kita adalah milik Allah.
"Jadi kalau rasa telah jatuh, jangan terus jatuh. Tapi bangun, bangkit. Kan sifatnya bila jatuh kena bangun. Jadi bangkit.
"Dan buat masyarakat di luar, saya tak minta dilayan istimewa, tetapi cukup sekadar memahami penyakit orang seperti kami. Doakan saya sihat dan boleh terus berkarya dengan baik," katanya menutup bicara.
Instagram: @zynakal
Must-Watch Video