ZynAkal Terkejut Dayang Nurfaizah Suka 'Sayang Aku Tanya Khabar' – “Dayang Sangat Humble, Rasa Kerdil Sangat Diri Ini…
Penyanyi dan komposer muda ZynAkal akui terkejut apabila Dayang Nurfaizah menyatakan persetujuan dan sukakan karya terbaharunya berjudul Sayang Aku Tanya Apa Khabar.
“Apa yang buat saya terharu, Dayang tidak lokek berkongsi ilmu dan turut memberikan idea bagi penambahbaikan dari segi susunan lagu.
"Bagi saya ia sesuatu yang bagus kerana dalam berkolaborasi ini perlu ada persefahaman dalam muzik. Saya menganggap idea yang diberikan oleh Dayang menjadikan lagu ini lebih menarik.
"Apabila Dayang cakap bersetuju, saya memang terkejut. Bukan apa, sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan nama besar dalam industri.
"Sebenarnya lagu ini dihasilkan tahun lalu dan sudah ditayangkan di saluran YouTube. Perancangan asal bukan untuk pasaran muzik semasa. Ia untuk suka-suka saja. Tapi, selepas beberapa bulan ada yang mencadangkan kenapa tidak lagu ini dikomersialkan.
"Kebetulan Def Jam Malaysia muncul dengan idea untuk menampilkan Dayang Nurfaizah sebagai rakan duet dalam lagu ini.
"Lagu ini dirakam semula pada Mac lalu. Alhamdulillah, proses rakaman lancar. Tidak ada yang susah walaupun pertama kali bekerjasama dengan Dayang. Lagi pula dia cepat dapat apa yang saya ingin sampaikan dalam lagu ini. Improvisasi yang dibuat Dayang pada lagu ini juga kena dan boleh diterima.
"Kami buat dua kali sesi rakaman. Malah, ketika rakaman dibuat juga, kami tidak ambil masa lama. Saya puas hati dengan apa yang dipersembahkan.
“Malah, Dayang bagi lebih lagi. Pendek kata, 'tone' dan vokal Dayang kena dengan lagu ini," katanya.
Lagu Sayang Aku Tanya Apa Khabar terbitan Def Jam Malaysia dilancarkan secara rasmi di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 6 Ogos lalu.