Sekilas
- Malik Choo, yang sudah 16 tahun dalam industri seni, akhirnya melancarkan single solo pertamanya berjudul 'Move On' tahun ini sebagai cabaran baru dalam kerjaya nyanyiannya.
- Single 'Move On' menggabungkan elemen rap pop dan R&B, membawa mesej positif tentang melepaskan beban dan melangkah ke hadapan dengan keyakinan.
- Lagu ini akan tersedia di platform penstriman utama mulai 5 Disember 2025, manakala video muziknya akan dilancarkan secara eksklusif di YouTube VEVO pada 10 Disember 2025.
Walaupun sudah 16 tahun bergiat dalam industri seni, penyanyi Malik Choo akhirnya berani untuk mengeluarkan single solo sendiri dan ingin dikenali ramai, tahun ini.
Malik Choo atau nama sebenarnya Malik Abdullah berkata, langkah tersebut merupakan satu cabaran baharu buat dirinya dalam mengembangkan bakat sebagai seorang penyanyi.
"Saya ada banyak perkara untuk diberikan. Saya tak pasti kekuatan saya dalam 'genre' apa. Saya baru berjinak.
"Walaupun saya dah 16 tahun di dalam industri sejak tahun 2019, baru tahun ini saya berani untuk keluarkan lagu dan benarkan orang untuk mengenali saya sebagai penyanyi yang memiliki solo sendiri. Ini semua baru dan sebuah cabaran untuk saya.
"Saya sangat yakin dengan pengurusan Svltan. Sebelum masuk, semua tahu Yasmin dan Altimet adalah artis di bawah Kartel. Dulu saya teringin juga nak masuk dalam Kartel," katanya kepada Gempak.
Malik berkata demikian ketika mengadakan sidang media lagu single terbaharunya iaitu 'Move On' di Hartamas pada Selasa.
Dalam masa sama, Malik turut akui bahawa dia pernah memasang impian untuk menjadi seorang 'DJ rapper' namun percaya rezekinya kini lebih tertumpu sebagai penyanyi solo.
"Saya teringin nak jadi Dj rapper seperti DJ Sona One dan DJ Joe Flizzow tetapi tuhan tidak memberikan saya kesempatan untuk masuk sebagai artis di bawah rekod rakaman Kartel. Namun, saya masih bersyukur dengan perjalanan hidup saya.
"Saya pernah berbincang dengan pengurusan Svltan kerana saya teringin nak jadi DJ untuk kawan-kawan saya tetapi mereka buat keputusan untuk memperkenalkan saya sebagai artis solo. Jika saya ingin menjadi DJ, saya perlu menjual diri saya sendiri," ujarnya
Dalam perkembangan lain, Malik turut melancarkan single terbaharunya berjudul 'Move On', sebuah karya rap pop dengan sentuhan R&B yang menandakan peralihan identiti dan evolusi kreatif Malik sebagai artis serba boleh yang semakin mendapat perhatian dalam arus muzik kontemporari Malaysia.
Lagu ini menekankan pentingnya melepaskan perkara yang membebankan, membangkitkan tenaga positif dan menggalakkan pendengar untuk melangkah ke depan dengan penuh keyakinan.
Bermula 5 Disember 2025, single “Move On” boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music manakala MV “Move On” pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran rasmi YouTube VEVO @MalikChoo pada hari Rabu, 10 Disember 2025 ini.