Sekilas
- YouTuber terkenal Thailand, Hlun Solo, ditemui meninggal dunia di sebuah hotel di Georgia selepas hilang selama dua minggu semasa jelajah solo.
- Keluarga mengesahkan kematian beliau pada usia 27 tahun dan memohon agar privasi mereka dihormati serta mengelak spekulasi.
- Kementerian Luar Thailand sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia untuk membawa pulang jenazah dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Selepas meminta pertolongan dan memaklumkan mengenai kehilangan adiknya, seorang YouTuber terkenal Thailand, Hlun Solo yang didakwa tidak dapat dikesan selama dua minggu selepas melakukan siri jelajah solo ke Georgia, keluarga pempengaruh itu harus menelan pil pahit.
Solo yang yang terkenal dengan konten kembara solo dan memiliki lebih 2 juta pengikut di media sosial ditemui telah meninggal dunia.
Kematian Solo atau nama sebenarnya, Bowornthat Pengsuk, disahkan keluarga pada Khamis selepas dilaporkan terputus hubungan dengan ahli keluarga sebelum ini selepas keluar mengembara. Mereka kali terakhir berhujung dengan Solo pada 13 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh abang mangsa yang menggunakan nama Facebook Klose Mos menerusi satu hantaran pada jam 1.35 pagi waktu tempatan. Dalam kenyataan tersebut, keluarga memaklumkan adiknya telah ditemui namun disahkan meninggal dunia.
Pempengaruh itu ditemui sudah tidak bernyawa di dalam bilik sebuah hotel di bandar Georgia. Solo meninggal dunia pada usia 27 tahun, lapor Bangkok Post.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai punca atau keadaan yang membawa kepada kematiannya didedahkan buat masa ini.
Susulan kematiannya, keluarga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang operasi pencarian, termasuk individu yang berkongsi hebahan kehilangan, mengikuti perkembangan kes, menyelaras bantuan serta memberikan sokongan melalui pelbagai saluran.
Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan di Thailand dan luar negara serta semua pihak yang terlibat dalam usaha mengesan Hlun.
Dalam masa sama, keluarga memohon agar privasi mereka dihormati sepanjang menguruskan segala urusan berkaitan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan demi menghormati mendiang serta ahli keluarganya.
Sementara itu, Kementerian Luar Thailand mengesahkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia untuk membawa pulang jenazah pempengaruh itu ke Thailand bagi urusan pengebumian.
Menurut juru cakap kementerian merangkap Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Jaithai Upakaranitikaset, pegawai dari Kedutaan Diraja Thailand di Ankara telah berkunjung ke Georgia bagi bertemu pihak berkuasa tempatan sebelum menerima pengesahan rasmi mengenai kematian Solo.
Ketika ini, pihak berkuasa Georgia masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Kedutaan Thailand turut memaklumkan perkembangan tersebut kepada keluarga mangsa dan akan terus menyalurkan maklumat terkini sebaik siasatan selesai.