Skip to main content

Berita

45 Jemaah Umrah Maut Bas Bertembung Lori Diesel Di Madinah

Jemaah india maut

Sekilas

  • Sekurang-kurangnya 45 jemaah umrah dari India maut dalam kemalangan bas berhampiran Madinah, Arab Saudi.
  • Kemalangan berlaku apabila bas yang dinaiki bertembung dengan lori tangki diesel sekitar jam 1.30 pagi waktu India.
  • Kumpulan jemaah tersebut berlepas dari Hyderabad pada 9 November dan dalam perjalanan pulang selepas menunaikan umrah.
  • Hanya seorang penumpang terselamat dan kini dirawat di hospital di Saudi.
  • Kerajaan Telangana dan Perdana Menteri India sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk bantuan segera.

Sekurang-kurangnya 45 jemaah umrah maut selepas bas dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki diesel berhampiran Madinah, lapor media tempatan pada Isnin.

Menurut laporan Hindustan Times, mangsa dipercayai warga India, dengan sebahagian besarnya dari Hyderabad.

Menteri Teknologi Maklumat Telangana, D Sridhar Babu berkata, maklumat awal menunjukkan sekurang-kurangnya 16 mangsa merupakan penduduk Hyderabad, khususnya dari kawasan Bazarghat, Mallepalli.

Tambahnya, proses pengesahan identiti sedang dilakukan.

Pesuruhjaya Polis Hyderabad, VC Sajjanar pula mengedahkan seramai 45 orang maut dan hanya seorang terselamat yang kini dirawat di hospital.

Menurut laporan awal kerajaan negeri, kemalangan berlaku sekitar jam 1.30 pagi (waktu India) di Mufrihat, yang terletak kira-kira 160 kilometer dari Madinah.

Kumpulan jemaah itu berlepas dari Hyderabad pada 9 November dan dalam perjalanan kembali ke Madinah selepas menunaikan Umrah di Makkah apabila tragedi berlaku.

Sajjanar berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada 54 jemaah yang berlepas ke Jeddah pada 9 November.

Empat daripada mereka meneruskan perjalanan ke Madinah dengan kereta, manakala empat lagi kekal di Mekah dan selebihnya iaitu 46 orang dalam meneruskan perjalanan menaiki bas.

Beliau berkata, kemalangan berlaku kira-kira 25 kilometer dari Madinah apabila bas itu berlanggar dengan lori tangki minyak.

Difahamkan, hanya seorang penumpang iaitu Mohammad Abdul Suyaib, terselamat dan kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Jerman Saudi.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital tempatan.

Sementara itu, kerajaan Telangana berkata, pihaknya sedang berhubung dengan Kedutaan India di Riyadh.

Arahan telah dikeluarkan agar pegawai bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kedutaan Arab Saudi bagi langkah bantuan segera.

Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, pegawai India sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan menyediakan segala bantuan diperlukan.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement