Sekilas
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengumpulkan kira-kira 300 alumni sempena sambutan Jubli Emas Pengajian Media, meraikan 50 tahun pengajian media sejak 1976.
- Sambutan ini turut melancarkan buku khas yang mendokumentasikan sejarah dan pencapaian pengajian media UKM serta pelancaran Tabung Jubli Emas MENTION untuk menyokong pembangunan akademik dan kebajikan pelajar.
- Acara ini bertujuan memperkukuh hubungan antara universiti, alumni dan industri media, serta memastikan graduan memahami kepentingan etika dan integriti dalam era digital dan kecerdasan buatan.
Selepas lima dekad melahirkan pelbagai generasi pengamal media dan komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menghimpunkan kira-kira 300 alumni sempena sambutan Jubli Emas Pengajian Media (MENTION).
Sambutan itu menjadi detik istimewa buat bekas pelajar yang pernah mengikuti pengajian dalam bidang media dan komunikasi sejak tahun 1976 untuk kembali bertemu, berkongsi kenangan serta mengimbau perjalanan masing-masing dalam industri.
Bukan sekadar pertemuan semula, sambutan berkenaan turut meraikan sumbangan alumni yang kini berkecimpung dalam pelbagai bidang termasuk kewartawanan, penyiaran, komunikasi dan kepimpinan industri.
Menurut Pro Naib Canselor Strategi dan Kelestarian UKM, Profesor Dato’ Dr. Roslee Rajikan, sambutan tersebut membawa makna lebih besar daripada sekadar meraikan ulang tahun penubuhan.
“Sambutan jubli emas ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar meraikan usia penubuhan.
“Sebaliknya, ia merupakan penghargaan terhadap sumbangan semua pihak yang telah membina reputasi pengajian media UKM, selain membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama antara universiti, alumni dan industri media,” katanya.
Menariknya, sambutan berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku khas Jubli Emas yang mendokumentasikan sejarah, pencapaian serta perkembangan pengajian media UKM sepanjang 50 tahun.

Penerbitan itu juga bakal merakamkan sumbangan tokoh akademik, pengalaman alumni dan perubahan landskap media seiring perkembangan teknologi digital.
Dalam masa sama, UKM turut merancang pelancaran Tabung Jubli Emas MENTION dengan sasaran sumbangan sebanyak RM50,000 daripada alumni dan rakan strategik.
Dana berkenaan bertujuan menyokong pembangunan akademik, penyelidikan, kebajikan pelajar serta kecemerlangan Pusat Kajian Media dan Komunikasi UKM.
Roslee berkata, inisiatif tersebut diharap dapat menghubungkan kejayaan alumni dengan peluang pembangunan generasi pelajar masa hadapan.
Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan perubahan pesat dunia digital, sambutan Jubli Emas itu turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, selain memastikan graduan media terus memahami kepentingan etika, kredibiliti dan integriti dalam penyampaian maklumat.
Pertemuan bersejarah tersebut diharap dapat membuka ruang kerjasama baharu antara alumni pelbagai generasi, sekali gus meneruskan legasi Pengajian Media UKM untuk tahun-tahun mendatang.
Sumber: Kenyataan media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)