Sekilas
- Pengarah Bahri Uma Bajuri mengakui hampir 90% watak Maryam lakonan Mira Filzah dalam filem Akad Yang Hilang mencerminkan dirinya sendiri.
- Bahri berkongsi pengalaman peribadi dan hubungan dengan adiknya yang turut memberi inspirasi kepada naskah filem tersebut.
- Filem Akad Yang Hilang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 15 Januari, menampilkan pelakon Mira Filzah dan lain-lain.
Pengarah filem Akad Yang Hilang, Bahri Uma Bajuri akui naskah yang diarahkan ini sangat dekat dengan dirinya.
Menurut Bahri, hampir 90 peratus watak Maryam lakonan Mira Filzah mencerminkan dirinya sendiri apatah lagi babak yang ada di dalam filem tersebut hampir sama dengan kehidupanya bersama adiknya itu pelakon, Nadiah Aqilah.
"Ada tiga babak yang sangat dekat dengan saya. Saya sulung dalam adik-beradik. Saya kenal arwah mak saya. Saya membesar dengan kata-kata yang saya beruntung sebab saya tahu wajah dan suara arwah.
"Adik saya ketika itu baru berusia 5 tahun dan saya tahu dia pun sedang 'struggle'. Anak sulung ada dugaan dia, dia lupa adik dia pun ada kesukaran dan ia sangat membuka mata saya.
"Saya letak diri saya dalam beberapa watak. 90 peratus watak Mira Filzah adalah diri saya. Cuma apa yang membezakannya ialah dia kakak sulung dan mempunyai seorang adik lelaki," katanya kepada Gempak.
Bahri berkata demikian ketika ditemui di Malam Gala Filem Akad Yang Hilang baru-baru ini.
Dalam masa sama, Bahri meluahkan rasa syukur kerana dia berada dalam industri perfileman yang memberinya ruang untuk menyalurkan emosi serta pengalaman hidup melalui karya.
"Saya bersyukur saya dalam industri ini sebab saya dapat terjemahkan perasaan ini dalam karya saya. Ia adalah minat saya. Apabila, naskah itu hamper sama dengan apa yang saya alami, saya yakin penonton pun dapat memahami dan menjiwai perasaan saya.
Filem Akad Yang Hilang terbitan Astro Shaw dan produksi Playwright Pictures Sdn. Bhd menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 15 Januari ini.
Filem arahan Bahri Uma Bajuri itu dibintangi Mira Filzah, Syarul Ezani, Idan Aedan, Sherie Merlis dan Aleza Shadan.
Sinospis:
Akad Yang Hilang mengisahkan Maryam yang merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya, Ammar. Namun, urusan perkahwinannya menjadi rumit apabila Mahkamah Syariah mendedahkan perkahwinan ibu bapanya terdahulu adalah tidak sah.
Pendedahan itu tular di media sosial dan mengundang stigma serta kecaman masyarakat, memaksa Maryam berdepan persoalan besar mengenai status dirinya dan masa depan perkahwinan yang diimpikannya.