Sekilas
- Nadia Brian memaafkan semua komen salah anggap terhadap dirinya asalkan tidak mendatangkan fitnah kepada keluarga.
- Pelakon Bisikan Pontianak itu tidak ambil serius jika ada yang cuba 'kenen' dirinya kerana sibuk dengan kerja.
- Dia ada rancangan untuk tamatkan status bujang tetapi masih belum ada calon yang sesuai buat masa ini.
Salagi tidak mendatangkan fitnah kepada diri dan keluarga, pelakon, Nadia Brian tidak ambil hati dengan sesetengah komen yang membuat spekulasi atau andaian yang salah terhadapnya.
Malah, Nadia atau nama penuhnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi telah memaafkan mereka yang telah tersalah anggap mengenai dirinya selama ini.
“Kita memang tak boleh nak hentikan orang komen mengenai diri kita. Saya okay sahaja asalkan ia tidak melampaui batas sehingga boleh timbulkan fitnah dan memberi kesan pada keluarga saya.
“Saya ingin tegaskan peluang kedua untuk diri saya sendiri dan saya harap ia jelas. Saya dah maafkan semua orang yang buat andaian salah terhadap saya. Yang baik , kita ambil dan yang tidak baik, saya tengok dan ucap terima kasih,”katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelakon supertele Bisikan Pontianak itu turut berkata dia tidak kisah jika ada pihak yang cuba ‘kenen’ dirinya dengan seseorang memandangnya dirinya juga sibuk bekerja.
“Saya tak ambil serius pun apabila ada yang cuba kenenkan saya dengan orang biasa ataupun sesiapa. Saya pun sibuk bekerja, tak sempat nak berjumpa dengan orang.
“Saya rasa Threads tempat untuk kita bergembira dan berseronok. Kita tak boleh nak serius sangat.Kadang-kadang orang komen pun saya gelak sendiri. Jodoh pertemuan semua di tangan Allah. Peluang kedua untuk diri saya,”ujarnya.
Katanya lagi, dia juga ada rancang untuk tamatkan status bujangnya, namun sehingga kini masih tiada calon dan dengan siapa dia patut mendirikan rumah tangga.
“Ada plan nak tamatkan status solo cuma taktahu bila dan dengan sesiapa. Saya berkawan dengan geng kawan-kawan sahaja. Tak direct kepada sesiapa. Ada sahaja mesej-mesej nak cuba saya. Mungkin mereka nak berkomunikasi dengan saya. Kalau ada jodoh, adalah,”kongsinya.