Sejak kemunculannya di konsert GenKRU baru-baru ini, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-2, Adam akui dia mengambil keputusan untuk menambah kapasiti konsert sulungnya yang bakal berlangsung awal tahun hadapan daripada hanya 250 kepada lebih seribu penonton.
Menurut Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Matsaman, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada peminat.
Advertisement
"Rancangan pertama saya sebenarnya hanya memuatkan 500 pax sahaja tetapi lepas kemunculan saya di GenKRU, nama saya naik di media sosial sehingga meraih 1 juta tontonan.
"Saya kira mungkin para peminat rindukan saya. Selepas melihat maklum balas dari peminat saya, saya ambil keputusan untuk menaikkan kapasiti dari 250 pax ke seribu lebih pax. Konsert itu sangat memberikan kesan pada saya," katanya.
Adam berkata demikian ketika mengadakan sidang media Konsert Tukang Gempak Adam pada Khamis.
Dalam masa sama, penyanyi yang terkenal menerusi lagu "Tak Tahu" itu turut mengakui konsertnya berdepan cabaran sehingga terpaksa ditunda ke tahun hadapan kerana lokasi yang diinginkan penuh serta bertembung dengan jadual konsert artis lain.
"Bulan 5 tak jadi, bulan 10 semua tempat yang kita nak penuh. Pergi 27 Disember 2025 macam tidak kena sebab bila fikir balik tarikh itu jatuh pada hujung tahun dan saya rasa jika masuk tahun baharu terlalu sekejap dan kurang kesannya.
"Selain itu, terlalu ramai yang buat konsert tahun ini. Jadi saya buat keputusan untuk buat pada awal tahun hadapan,"jelas Adam.
Untuk rekod, tahun ini industri muzik tempatan turut meriah dengan konsert GenKRU, Search & XPDC, 4U2C, Rabbani serta ramai lagi.
Adam sendiri pernah membuat kemunculan di konsert GenKRU yang berjaya mengumpulkan lebih 9,000 penonton di Axiata Arena di mana dia mempersembahkan lagu "Terhangat Di Pasaran".
Sekadar info, konsert solo pertama Adam dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Galaxy Banquet Hall, Kuala Lumpur jam 8 malam.
Dengan tema The Trendsetter: Bandangan, Adam bakal menghiburkan peminat dengan seleksi lagu daripada keempat-empat albumnya iaitu ADAM, ADAM II, ADAM III dan ADAM IV serta barisan lagu singlenya sejak tahun 2004.