Skip to main content

Berita

AirAsia Kini Benarkan Kru Kabin Wanita Berhijab

AirAsia Hijab

Sekilas

  • AirAsia kini membenarkan kru kabin wanita memilih untuk memakai hijab semasa bertugas sebagai sebahagian daripada pembaharuan polisi pakaian seragam.
  • Inisiatif ini bertujuan memastikan keseragaman dan profesionalisme di seluruh rangkaian syarikat penerbangan sambil menghormati kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
  • Pelaksanaan penuh dijangka bermula pada Ramadan 2026 selepas kerjasama dan maklum balas daripada kru kabin AirAsia.

AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab ketika bertugas.

Ini selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya bangga kerana pembaharuan terkini ini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang dihubungkan setiap hari.

"Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka," katanya dalam kenyataan.

Kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.

Pembaharuan terkini ini memperluaskan fleksibiliti berkenaan kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, Allstars berasal dari pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun AirAsia tetap bersatu dengan komitmen bersama untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan bertaraf dunia kepada tetamu.

"Polisi terkini ini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia. Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

"Kami berharap untuk memulakan inisiatif ini pada bulan Ramadan 2026," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, antara kekuatan terbesar AirAsia sentiasa terletak pada Allstars yang pelbagai.

"Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai.

"Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan saja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun.

"Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami," katanya.

Pakaian seragam kru kabin ikonik AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional diteruskan mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru yang bertugas di laluan Jeddah bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama di seluruh rangkaian.

Sumber: Harian Metro

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement