Sekilas
- Datuk Akberdin Abdul Kader berkongsi bahawa anaknya, Allahyarham Adli Hakim, yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Karak, merancang untuk berkahwin tahun depan dengan Athirah Najwa, yang turut cedera parah dalam kemalangan sama.
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.15 pagi apabila kereta dinaiki mereka terbabas, mengorbankan tiga lelaki termasuk Adli Hakim, manakala Athirah Najwa kini dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan sudah sedar daripada koma.
- Jenazah Adli Hakim telah disemadikan dengan kehadiran lebih 200 ahli keluarga dan kenalan rapat, sementara keluarga mendoakan kesembuhan Athirah Najwa yang merupakan rakan baik anaknya.
Peguam terkemuka, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan bahawa anaknya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur awal pagi Jumaat berhasrat untuk mendirikan rumah tangga tahun depan.
Menurut Akberdin, anaknya iaitu Allahyarham Adli Hakim Akberdin, 24, yang juga penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merancang untuk berkahwin dengan rakan baiknya Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, yang turut cedera parah dalam kejadian itu.
“Gadis yang parah itu (Athirah Najwa) sepatutnya menjadi bakal isteri anak saya dan kami memang sudah merancang untuk mereka berkahwin pada tahun depan kerana hubungan mereka berdua sememangnya sangat rapat.
"Saya amat mengenali gadis itu kerana dia adalah seorang daripada kawan baik anak saya sejak tiga atau empat tahun lepas. Dia juga sering datang berkunjung ke rumah kami sebelum ini," katanya.
Berkongsi mengenai kejadian, peguman berusia 62 tahun itu memaklumkan bahawa dia terus bergegas ke lokasi kejadian ketika mendapat berita mengenai kemalangan itu.
Setibanya di sana, pasukan paramedik mengesahkan tiga lelaki yang terlibat termasuk anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Athirah Najwa yang masih bernafas dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.
“Saya terus bergegas ke lokasi bersama anak sulung dan ketika tiba, pasukan bomba serta paramedik sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan,” katanya.
Dalam pada itu, Akberdin memaklumkan bahawa dia dan keluarganya akan terus mendoakan kesembuhan wanita itu yang dilaporkan sudah sedar daripada koma dan mula bertanyakan mengenai kejadian berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, kereta Volkswagen Golf dinaiki Adli Hakim bersama tiga rakannya dipercayai terbabas sebelum terlibat dalam kemalangan yang turut mengorbankan dua lagi rakannya, Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, manakala Athirah Najwa dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.
Jenazah Allahyarham Adli Hakim selesai menjalani proses bedah siasat pada 3 petang dan dibawa ke Masjid Seksyen 7 untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan oleh ratusan jemaah sebelum disemadikan pada 6.05 petang dengan dihadiri lebih 200 ahli keluarga serta kenalan rapat.
Sumber: Awani