Sekilas
- Cik Epal terpaksa membatalkan percutian bersama anak-anaknya pada saat akhir dan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.
- Dia memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut di media sosial dan menyerahkan segala urusan kepada mahkamah.
- Cik Epal dan bekas suaminya, Jofliam, kini dalam proses penyelesaian berkaitan penjagaan anak selepas perceraian mereka.
Pempengaruh, Cik Epal mendedahkan bahawa dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk membawa anak-anaknya pergi bercuti di saat-saat akhir.
Cik Epal atau nama sebenarnya Nor Munirah Mahmud berkata bahawa dia mengalami kerugian mencecah puluhan ribuan ringgit dan segala wang yang dikeluarkan telah 'burn'.
"Saya terpaksa batalkan percutian, kira 'burn'lah semua wang yang saya sudah keluarkan untuk percutian itu.
"Kalau tak memang saya nak bawa anak-anak pergi bercuti tetapi disebabkan saya tidak dapat anak-anak saya, tak boleh nak teruskan perancangan saya.
"Saya habiskan puluh ribu juga untuk percutian ini. Kalau boleh saya nak bercuti dengan anak-anak, jadi saya tidak akan teruskan percutian ini," katanya kepada Gempak.
Cik Epal berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media acara OHBulan! Paling Viral Online yang diadakan di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur pada malam Jumaat.
Dalam masa sama, Cik Epal berkata bahawa dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut dan mahu menyerahkan segala urusan pada mahkamah.
Katanya lagi, dia kini memilih untuk bertenang dan tidak mahu berkongsi secara berlebihan di media sosial miliknya lagi seperti dahulu kala.
"Sebenarnya saya tidak dapat anak-anak saya. Saya tak nak panjangkan isu ini
"Saya sekarang dah malas nak ulas isu ini di media sosial, saya nak 'bising' di mahkamah saja.
"Apa-apa hal biar mahkamah yang uruskan. Saya dah bawa perkara ini ke mahkamah," ujarnya.
Sebelum ini, pempengaruh Ashhry Atan atau Mohamad Asri Atan memuat naik sebuah hantaran di Threads miliknya meluahkan rasa kecewa kerana perancangannya untuk bercuti di Harbin, China bersama Cik Epal tidak kesampaian.
Susulan itu, rata-rata netizen membuat spekulasi perancangan percutian itu tidak dapat diteruskan berikutan anak-anak Cik Epal iaitu Han dan Yuki tidak diserahkan oleh bekas suaminya, Jofliam.
Sekadar rekod, Cik Epal pernah berkahwin dengan usahawan, Jofliam pada 1 Jun 2014, namun bercerai pada Oktober tahun lalu.
Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Han dan Yuki.