Sekilas
- Nur Haira Wafiqah, kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan yang diserang lima ekor anjing liar di Batu Pahat, kini sudah sedarkan diri selepas menerima rawatan di hospital.
- Ibunya memaklumkan keadaan Nur Haira semakin baik, namun masih memerlukan pemantauan dan rawatan lanjut.
- Keluarga memohon orang ramai mendoakan kesihatan dan proses pemulihan Nur Haira agar dipermudahkan.
Kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi yang diserang lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat pada Sabtu lalu, dilaporkan kini sudah sedarkan diri.
Perkembangan positif itu dikongsikan ibunya, Nur Wahyuni Harun, 36, yang memaklumkan keadaan anaknya semakin baik selepas menerima rawatan di hospital susulan kecederaan parah akibat serangan tersebut.
Menurut Nur Wahyuni, meskipun Nur Haira telah sedarkan diri, anaknya masih perlu menjalani pemantauan rapi serta rawatan lanjut di hospital.
Katanya, keluarga amat bersyukur dengan perkembangan berkenaan selepas melalui detik mencemaskan sejak kejadian itu berlaku.
“Alhamdulillah, Nur Haira sudah sedarkan diri. Kami sekeluarga amat bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap keadaannya akan terus bertambah baik.
“Namun begitu, perjalanan untuk pulih masih panjang dan kami menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Wahyuni turut memohon orang ramai agar terus mendoakan kesihatan anaknya supaya diberikan kekuatan untuk melawan kesakitan selain dipermudahkan segala urusan rawatan dan proses pemulihan.
“Kami mohon semua mendoakan Nur Haira agar terus kuat melawan kesakitan dan kembali sihat seperti sediakala. Doakan juga urusan rawatan serta proses pemulihannya dipermudahkan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi pada Sabtu lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Akibat serangan itu, Nur Haira mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian