Sekilas
- Aliff Satar berkongsi detik pertemuan dan perbualannya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sedang menjalani rawatan hospital secara rutin.
- Aliff meluahkan rasa syukur dapat meluangkan masa bersama Tun M walaupun singkat, sambil berkongsi momen menyentuh hati ketika Tun M melihat gambar lama ibu bapanya yang pernah berkhidmat sebagai jurubahasa bahasa isyarat untuk OKU.
- Dalam pertemuan itu, Tun M juga menulis nota untuk ibu Aliff selepas melihat gambar arwah isterinya, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, sambil Aliff berkongsi karya anak-anaknya sebagai penghormatan kepada Tun M.
Penyanyi, Aliff Satar menarik perhatian ramai selepas berkongsi detik pertemuan dan perbualannya bersama bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi perkongsian di Threads, Aliff bertanyakan khabar dan keadaan kesihatan Tun Mahathir sebelum tokoh berkenaan menjelaskan bahawa dia sudah biasa mendapatkan rawatan di hospital setiap kali jatuh sakit.
“Kami semua risau bila dapat tau Tun masuk hospital. Tun sihat ke? Gembira saya dapat melihat senyuman Tun hari ini,” katanya kepada Tun Mahathir.
“Biasalah tu, bila dah tua macam ini, sakit sikit, pergi hospital masuk ubat. Selepas itu, keluar balik,” balas Tun Mahathir.
Dalam masa sama, Aliff turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang meluangkan masa bersama Tun Mahathir atau lebih mesra disapa Tun M meskipun pertemuan tersebut singkat.
“Detik-detik berharga. Tak puas tapi cukup. Alhamdulillah, nak tulis kapsyen pun aku tak tahu nak kata macam mana. Singkat sahaja pertemuan dengan Tun tadi tetapi terlalu banyak perkara yang nak dikongsi.
Selain itu, Aliff turut berkongsi detik menyentuh hati apabila Tun M melihat gambar lama ibu dan bapanya ketika berkhidmat sebagai jurubahasa bahasa isyarat untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Gambar tersebut turut memperlihatkan arwah isteri Tun M iaitu Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Menurut Aliff, Tun M menatap gambar isterinya itu untuk beberapa ketika sebelum menulis nota buat ibunya.
“Mama ayah bawa gambar lama semasa mereka berkhidmat sebagai ‘interpreter’ bahasa isyarat untuk golongan OKU ketika Tun berucap. Bila Tun lihat gambar arwah Tun Hasmah, dia lihat dengan sangat lama sebelum dia menulis sebuah nota untuk Mama. Budak-budak buatkan dia tersenyum.
“Alisha tulis sebuah puisi untuk Tun, Ariana pula buat a pull out card dengan lukisan Tun sedang menaiki seekor kuda. Ali pula lukis dirinya dengan Tun. Satu penghormatan untuk meluangkan masa bersamanya. Semoga Allah bagi pahala yang banyak untuk Tun,” kongsinya.