Sekilas
- Empat kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun lemas ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Kulim.
- Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.
- Tiada saksi melihat kejadian, dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Polis sahkan empat kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun lemas disyaki ketika mahu mengambil bola yang melantun ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karanganm, Kulim pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, mangsa lemas termasuk dua beradik tiri, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8.
Menurutnya, dua lagi rakan mereka yang meninggal dunia ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
"Pada jam lebih kurang 7.45 malam, semasa pengadu bertugas di Kaunter Pejabat Pertanyaan di Balai Polis Sungai Karangan telah terima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat empat mangsa lemas berdekatan kolam tadahan Taman Desa Kayangan," katanya.
Menurutnya, pasukan perubatan terlebih dahulu mengesahkan dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
"Kesemua empat kanak-kanak ini dipercayai tinggal berdekatan Taman Desa Kayangan. Hasil temubual ibu mangsa mendapati kesemua mereka telah keluar dari rumah untuk bermain bola.
“Selepas itu, dipercayai bola melantun ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola tersebut sebelum tergelincir ke dalam longkang," jelasnya.
Beliau berkata, difahamkan, tidak ada saksi yang melihat kejadian itu.
Katanya, anggaran kedalaman longkang tersebut lebih kurang tiga meter dan lebar kira-kira 1.8 meter.
Menurut Syamsul, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Sumber — Sinar Harian