Skip to main content

Berita

Anak Didakwa, Suri Rumah Bangkit Jadi Peguam Tanpa SPM

Astrogempak SPM

Sekilas

  • Azlina Abdul Aziz berubah haluan dari suri rumah kepada peguam selepas anaknya didakwa dalam kes bunuh pada 2016.
  • Walaupun tidak mempunyai SPM, Azlina berjaya melanjutkan pengajian undang-undang melalui laluan khas dan menamatkan pengajian pada usia 43 tahun.
  • Setelah anaknya dibebaskan pada 2022, Azlina kini membuka firma guaman sendiri dan fokus membantu kes sivil dan jenayah berdasarkan pengalaman peribadinya.

Menerima ujian apabila anak didakwa dalam kes bunuh menjadi titik perubahan hidup seorang wanita sehingga mendorongnya mengubah haluan daripada suri rumah kepada peguam.

Memetik laporan Harian Metro, Azlina Abdul Aziz, 52, berkata detik hitam yang dilalui pada 2016 itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

"Memang saya tak pernah terfikir nak jadi peguam. Saya hanya suri rumah. Saya membesar dalam keluarga susah di tanah rancangan Felda dan tidak sempat menamatkan persekolahan hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya berhenti sekolah awal sebab hidup susah dan keadaan keluarga. Cabaran hidup sejak kecil turut dipengaruhi keadaan bapa yang menghidap masalah mental," katanya.

Kisah Azlina atau dikenali di media sosial sebagai Makcikmanis mendapat perhatian warga maya mengenai perkongsiannya daripada seorang suri rumah menjadi peguam dan lebih mencuri perhatian kerana dia tidak mempunyai SPM.

Azlina berkahwin kali pertama pada usia muda, namun perkahwinan itu tidak bertahan lama dan berakhir dengan perceraian.

"Saya ingat kahwin boleh selesaikan masalah, tapi rupanya ujian lain pula. Saya menjadi ibu tunggal selama beberapa tahun sebelum bertemu jodoh dengan suami warga Australia.

"Kami menetap di Australia bermula 2003 sebelum kembali ke Malaysia pada 2010," katanya.

Katanya, dia menjadi suri rumah sepenuh masa sehinggalah anak lelakinya ditahan polis pada 2016.

"Mula-mula saya ingat kes dadah, tapi bila polis cakap kes bunuh, memang terkejut sangat.

"Anak saya mempunyai masalah pembelajaran didakwa bersama individu lain dalam kes berkenaan.

"Anak saya nampak macam biasa, tapi sebenarnya dia seorang yang lembam," katanya.

Sepanjang tempoh perbicaraan anaknya, Azlina mula membaca bahan berkaitan undang-undang untuk memahami proses mahkamah.

"Saya baca kes dan cuba faham bagaimana pendakwaan buktikan sesuatu kes. Pengalaman berulang-alik ke penjara setiap minggu membuka mata mengenai kesukaran keluarga banduan lain.

"Saya tengok ramai ibu bapa tak faham prosedur, jadi saya cuba bantu setakat yang mampu," katanya.

Katanya, dia mendapat dorongan rakan supaya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang yang menjadi titik permulaan kepada perubahan hidupnya.

"Mereka kata saya boleh bercakap macam peguam, jadi saya cuba mohon. Walaupun saya tidak mempunyai SPM, saya menggunakan pengalaman kerja untuk melayakkan diri memasuki universiti melalui laluan khas.

"Saya ingat lagi pergi ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bertanya cara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

"Pegawai yang melayan saya agak hairan kerana saya tidak mempunyai SPM dan hanya seorang suri rumah. Jadi, saya hanya beranikan diri sahaja," katanya.

Katanya, pada usia 43 tahun, Azlina memulakan pengajian undang-undang sambil masih mengurus kes anaknya di mahkamah.

"Saya belajar sebab nak faham dan bantu anak sendiri," katanya.

Katanya, pada 2022 menjadi detik paling bermakna apabila anaknya dibebaskan daripada pertuduhan.

"Alhamdulillah, anak saya dibebaskan selepas hampir enam tahun selepas didapati tidak bersalah.

"Malah anak juga sempat untuk melihat saya pada hari konvokesyen," katanya.

Kini, Azlina membuka firma sendiri dan memberi fokus kepada kes sivil dan jenayah berdasarkan pengalaman hidupnya.

"Saya pernah jadi anak guam, jadi saya tahu macam mana perasaan itu. Saya bertekad untuk menjadi peguam yang benar-benar membantu dan tidak mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain.

"Daripada pengalaman peribadi saya, saya jadi seorang peguam yang betul-betul menghayati masalah anak guam dan akan cuba sedaya upaya untuk membantu sebab saya pernah alami semua tu," katanya.


Sumber: Harian Metro 

Anda mungkin berminat dengan

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

HABIB Songket Collection

HABIB Songket Collection

Corolla Soft New Shoes

Corolla Soft New Shoes

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

GOOJODOQ 2 in 1 Handheld Camera Fan

GOOJODOQ 2 in 1 Handheld Camera Fan

Must-Watch Video

Advertisement