Sekilas
- Nur Fazura meluahkan kekecewaan apabila anak perempuannya, Nur Fatima, sering menjadi sasaran kecaman warganet sejak kecil.
- Fazura mempertahankan anaknya daripada kritikan dan menegaskan sebagai ibu, dia perlu berdiri teguh untuk Fatima.
- Fazura turut berkongsi rasa syukur atas kejayaan koleksi Fazura X Jakel yang mendapat sambutan luar jangka dengan beberapa rekaan sudah habis dijual.
Pelakon dan usahawan popular, Nur Fazura meluahkan rasa kecewa apabila anak perempuannya, Nur Fatima sering menjadi sasaran kecaman warganet.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 43, mendedahkan anak hasil perkahwinannya bersama bekas suami, Fattah Amin itu sudah menerima kecaman sejak dilahirkan lagi.
“Sebenarnya perkara ini berlaku sudah lama. Sejak Fatima lahir lagi dia sudah dicerca dan dikecam.
“Waktu dia kecil dia tak pandai nak sebut nama dia. Jadi dia sebut Nyamma. Tapi orang ejek nama dia (dengan panggilan macam-macam).
“Itu belum lagi orang cakap dia menyemak, tak patut berada di situasi tertentulah. Sedangkan saya dah beri kebenaran untuk dia berada di majlis itu.
“Sebagai ibu saya rasa marah dan terluka. Jadi saya pertahankan anak saya. Kalau saya tak pertahankan anak saya, siapa lagi yang nak buat macam tu.
“Nanti bila dia dah besar dia akan tengok siapa yang pertahankan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat bersama wajah-wajah Jakel di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Dalam perkembangan lain, Fazura turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan kolaborasinya bersama Jakel menerusi koleksi Fazura X Jakel yang menerima sambutan luar jangka.
“Semua ini adalah kuasa dan rezeki Allah. Bukannya penangan saya seorang. Saya memang tak jangka sambutan yang diberikan sangat hebat. Ada tiga rekaan yang sudah ‘sold out’,” jelasnya.
Majlis ‘meet and greet’ yang berlangsung di Jakel Mall itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga lagi duta Jakel iaitu Elly Mazlein, Cik Epal dan Ammar.