Sekilas
- Seorang anggota polis berusia 26 tahun putus pergelangan tangan kanan selepas diserang dengan parang oleh seorang lelaki warga asing di Desa Aman Puri, Kepong.
- Suspek yang bertindak agresif berjaya dikesan di taman permainan dan meninggal dunia selepas polis melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.
- Anggota polis yang cedera kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, manakala beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut mengalami kecederaan ringan.
Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang Rabu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4 petang berhubung kejadian seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.
Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan polis bersama-sama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digegaskan ke lokasi untuk membantu mengawal keadaan.
“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV)
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang berusia 26 tahun dan berpangkat Lans Koperal putus
pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya kepada media di Hospital Selayang pada Rabu.
Shazeli berkata beberapa anggota bomba dan petugas KKM juga dilaporkan mengalami sedikit kecederaan akibat insiden itu.
Beliau berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum berjaya dikesan berada di sebuah taman permainan berhampiran pada 8 malam.
“Ketika polis cuba menahan lelaki itu, dia telah bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan bagi anggota polis mempertahankan diri.
“Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Shazeli berkata anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Selayang dan telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, kes berkenaan turut tular melalui media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Sumber: AWANI menerusi BERNAMA