Polis Daerah Serdang sedang menjalankan siasatan berhubung kes orang hilang membabitkan seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun yang juga seorang anggota tentera.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Ariffin, dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara, kali terakhir Muhammad Ammar dilihat adalah di kawasan Sungai Kedondong, Batang Kali, Selangor.
Muhammad Ammar mempunyai ciri fizikal kulit cerah, rambut pendek lurus serta berketinggian kira-kira 175 sentimeter.
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung Muhammad Ammar untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222/03-80713136,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menegaskan kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengesan individu terbabit secepat mungkin.
Kes ini masih dalam siasatan lanjut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Pada Rabu lalu seorang pemilik akaun TikTok yang dipercayai kakak kepada Muhammad Ammar berkongsi, adiknya itu gagal dihubungi.
"Adik saya hilang dari kem sejak 24 Ogos (Rabu) puas kami cuba call tetapi gagal, pesanan ringkas bukan sahaja tidak dibalas tetapi hanya satu tanda sahaja," katanya menerusi perkongsian di TikTok bernama Eynes.
Menurutnya lagi, Muhammad Ammar dikatakan keluar beriadah pada 25 Ogos (Sabtu) sebelum menemui tiga lagi rakan di UiTM Shah Alam.
"Selepas pertemuan berkenaan adik dan rakan-rakan pergi mandi di Sungai Kedondong, bagaimanapun semua rakan-rakan tidak mengetahui di mana lokasi terakhir adik," luahnya.
Menurut Eynas juga, pihak keluarga telah menelefon hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi mencari adiknya.
Bagaimanapun tiada sebarang rekod dikesan.
Sumber : Astro AWANI