Filem aksi Banduan terus menjadi pilihan penonton apabila kutipannya kini mencecah RM7 juta, sekali gus menunjukkan penerimaan yang sangat positif di pawagam.
Pencapaian ini menjadikan filem berkenaan antara karya utama penutup tahun ini.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dan Number Twenty One Media, Banduan merupakan adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India, Kaithi, dan mula ditayangkan pada 6 November lalu di seluruh negara.
Mengisahkan seorang banduan yang bekerjasama dengan polis bagi menumpaskan sindiket dadah sambil berusaha menemui anak perempuannya, filem ini dipuji kerana jalan cerita padat, aksi bertenaga dan elemen emosi yang menyentuh.
Gandingan utama Aaron Aziz dan Datuk Rosyam Nor, bersama barisan pelakon seperti Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan, turut menambah daya tarikan filem ini kepada penonton.