Skip to main content

Berita

“Artis Islam Berpakaian Mencolok Mata Boleh Diambil Tindakan Jenayah Syariah” – Menteri Hal Ehwal Agama

ff

Ringkasan AI

  • Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian mencolok mata.
  • Beliau mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam oleh JAKIM dan Mufti Wilayah Persekutuan.
  • Isu ini timbul selepas penampilan kumpulan Dolla dalam video muzik terbaru mereka mendapat kritikan kerana gaya fesyen yang dianggap keterlaluan.
  • Mohd Na'im menegaskan selebriti perlu lebih cakna kerana mereka menjadi idola dan contoh kepada golongan muda.
  • Beliau berharap selebriti Islam dapat menunjukkan contoh terbaik dengan mematuhi peraturan dan adab dalam kehidupan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Dr Mohd Na'im sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.

"Dari sudut tindakan itu kita akan lihat (terlebih dulu) kalau ada pelanggaran kepada mana-mana peraturan, enakmen dan jenayah syariah...tindakan jenayah syariah dalam penelitian kita," katanya.

Datuk Dr Mohd Na'im berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC).

Yang turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Zuri Zabuddin Budiman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Prof Madya Dr Mohammad Firdaus Low Abdullah.

Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.

Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma' Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.

Mohd Na'im berkata beliau sudah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Mufti Wilayah Persekutuan menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan aspek pemakaian selebriti beragama Islam.

Katanya, semakan itu adalah antara langkah diambil susulan timbul isu pakaian segelintir selebriti wanita Melayu beragama Islam yang tampil dengan fesyen mencolok mata dalam persembahan atau karya seni mereka.

"Saya ingat sudah ada garis panduan yang dikeluarkan JAKIM tapi tak salah untuk ia disemak.

"Saya akan minta Ketua Pengarah JAKIM (Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee) dan Mufti Wilayah Persekutuan (Ahmad Fauwaz Fadzil) untuk lihat kembali garis panduan yang sudah ditetapkan.

"Cuma garis panduan itu satu perkara, adalah lebih baik (perubahan) itu datang daripada hati nurani kita sendiri," katanya Mengulas lanjut, Mohd Na'im menegaskan, golongan selebriti sepatutnya lebih cakna terutama dari segi penampilan mengambil kira mereka sering dijadikan idola oleh masyarakat khususnya golongan muda.

"Bila kita jadi idola dan ikutan, sebagai orang Islam tentunya kena pastikan setiap perbuatan (kita) akan mendapat pahala dan boleh bawa golongan muda ke arah kebaikan.

"Harapan saya agar golongan selebriti ini dapat tunjukkan contoh terbaik, patuhi peraturan kehidupan sebagai orang yang beragama Islam dan ikutlah adab kita di sebelah timur ini," katanya.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement