Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail mengumumkan keputusan pengunduran daripada jawatannya selepas lima tahun menerajui organisasi berita berkenaan.
Dalam satu hantaran di Instagram, Ashwad menzahirkan ucapan terima kasih kepada Astro atas kepercayaan untuknya menerajui jenama berita paling dipercayai itu.
“19 tahun lalu, Astro AWANI bermula dari atas kertas yang sarat dengan impian, harapan dan cita-cita. Lima tahun lalu, pada usia 36 tahun, saya diamanahkan untuk menerajuinya sebagai Ketua Pengarang. Ia jadi satu cerminan kepercayaan berterusan Astro dalam membina dan memperkasa bakat kepimpinan muda tempatan.
“Hari ini, saya membuat keputusan untuk berundur. Mengundur diri ketika jenama berita paling dipercayai di Malaysia ini berada dalam keadaan kukuh, mampan dan penuh keyakinan terhadap apa yang telah kita bina bersama,” katanya.
Ashwad turut menegaskan bahawa Astro AWANI bukan sekadar sebuah bilik berita, sebaliknya satu misi untuk membuktikan bahawa kewartawanan mampu terus berinovasi, kekal berprinsip dan berdaya maju secara komersial walaupun berdepan cabaran besar.
Mengambil semangat dan keberkatan bulan Ramadan, Ashwad menyifatkan pengundurannya sebagai satu keputusan yang dibuat dengan penuh rasa syukur.
“Mengambil ibrah dan keberkatan Ramadan yang mulia ini, saya berundur dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada semua. Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kesilapan dan kekhilafan sepanjang khidmat saya di Astro AWANI. Maaf Zahir dan Batin," ujarnya lagi.
Ashwad merupakan sebahagian daripada visi pengasas yang melahirkan saluran ini pada tahun 2007 dan sepanjang lima tahun yang lalu, dia diberi penghormatan dan kepercayaan oleh Astro Malaysia Holdings Berhad untuk menerajui Astro Awani Network Sdn Bhd dalam tempoh yang paling mencabar dan transformatif dalam sejarah media global.