Sekilas
- Ahmad Aslam dan isteri keduanya, Marissa Dania, menghadiri prosiding mahkamah yang ditangguhkan kerana isu hukum syarak dan perundangan memerlukan penelitian lanjut.
- Aslam memohon doa orang ramai dan enggan mengulas lanjut, manakala Marissa mengesahkan dirinya dalam keadaan baik.
- Pasangan ini pernah melafazkan cerai dan rujuk beberapa kali sejak perkahwinan mereka pada Disember 2023, dengan prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk masih belum selesai.
Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam enggan mengulas lanjut mengenai prosiding mahkamah yang berlangsung hari ini bersama isteri keduanya, Marissa Dania.
Aslam atau nama penuhnya Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 27, hanya memohon doa orang ramai agar segala urusan mereka dipermudahkan.
“Maaf, saya tak ada apa-apa nak komen. Saya minta semua doakan yang baik-baik sajalah. Insya-Allah,” katanya kepada Gempak.
Manakala Marissa yang tampil sedondon bersama Aslam turut memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.
“Okey, saya sihat, alhamdulillah. Kita baik-baik saja. Selamat Hari Raya, Selamat Hari Raya semua," ujarnya.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk ditangguhkan kerana melibatkan beberapa isu yang memerlukan penelitian lanjut dari sudut hukum syarak dan perundangan.
“Hari ini mahkamah tidak dapat membuat keputusan kerana terdapat terlalu banyak isu hukum syarak dan undang-undang yang perlu diputuskan.
“Ada beberapa perkara yang perlu dirujuk kepada pandangan daripada kitab-kitab fuqaha dan ulama menerusi sumber fiqh yang muktabar. Jadi mahkamah belum dapat memberikan keputusan hari ini dan prosiding akan disambung pada tarikh lain untuk pihak defendan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kedua-dua pihak plaintif dan defendan tidak membenarkan dirinya mendedahkan tarikh perbicaraan seterusnya.
“Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan nasihat daripada saya sebagai peguam bagi pihak plaintif,” katanya.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menangguhkan prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk pasangan sensasi itu.
Untuk rekod, Aslam didakwa telah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan yang sama.
Dia kemudian sekali lagi melafazkan cerai pada April 2025 dan pasangan itu difahamkan kembali rujuk pada Jun tahun sama.
Marissa Dania merupakan isteri kedua Aslam selepas mereka bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Sebelum itu, Aslam telah mendirikan rumah tangga bersama isteri pertama, Umisya Mazlan pada Julai 2020.
Pasangan itu pernah bercerai pada September 2023 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula dalam tempoh idah.
Hasil perkahwinan, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Hud, Nuh serta seorang bayi perempuan yang dilahirkan pada 17 Februari lalu.