Skip to main content

Berita

Astro Akhiri Tahun Kewangan 2026 (FY26) Dengan Baik, Catat Hasil Sebanyak RM713 Juta Pada Suku Keempat

Astro

Sekilas

  • Astro Malaysia mencatatkan hasil RM713 juta pada suku keempat FY26 dengan pertumbuhan dua suku berturut-turut, disokong oleh pengiklanan, jalur lebar, dan perniagaan filem.
  • Filem animasi Papa Zola The Movie: Game On menjadi filem animasi Malaysia dengan kutipan tertinggi, manakala kandungan tempatan menyumbang 81% daripada jumlah tontonan keseluruhan Astro.
  • Platform penstriman Sooka menunjukkan peningkatan ketara dengan 204 juta minit tontonan bulanan dan pertumbuhan pelanggan VIP sebanyak 44%, manakala rancangan TV dan konsert Astro terus menarik jutaan penonton.

Astro Malaysia Holdings Berhad menutup tahun kewangan 2026 (FY26) dengan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pertumbuhan hasil bagi dua suku berturut-turut, didorong strategi transformasi yang semakin menunjukkan hasil.

Bagi suku keempat FY26, Astro mencatat hasil RM713 juta, meningkat 2 peratus berbanding suku sebelumnya dan menjadi pencapaian tertinggi bagi tahun kewangan tersebut. Prestasi ini disokong oleh peningkatan pengiklanan, pertumbuhan jalur lebar serta sumbangan daripada perniagaan filem.

Sepanjang tahun 2025, Astro turut merekodkan 20 bilion tontonan merentas platform televisyen, radio, penstriman dan digital. Kandungan tempatan terus menjadi kekuatan utama apabila menyumbang 81 peratus daripada jumlah tontonan keseluruhan.

Dalam industri perfileman, Astro menyumbang enam daripada 10 filem tempatan dengan kutipan tertinggi, menjana RM110 juta atau 39 peratus daripada pasaran.

Filem animasi Papa Zola The Movie: Game On muncul sebagai penyumbang terbesar dengan kutipan lebih RM68 juta serta 4.5 juta penonton di Asia Tenggara sekaligus menjadi filem animasi Malaysia dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.

Keupayaan Astro dalam menghasilkan kandungan yang berjaya secara komersial merentasi genre danvbahasa turut ditunjukkan melalui prestasi kukuh judul lain. Malam Terlarang meraih RM13 juta kutipan, kutipan tertinggi bagi filem seram tempatan, manakala Banduan menduduki tangga teratas sebagai filem adaptasi Tamil tempatan No.1 di Malaysia.

Bagi tahun hadapan, barisan filem Astro kekal kukuh dengan tawaran judul yang pelbagai, merangkumi keseimbangan antara nilai kreatif dan pulangan komersial.

Di televisyen pula, Gegar Vaganza kekal sebagai rancangan nombor satu negara dengan lebih 120 juta tontonan, manakala drama Dia Imamku mencatat hampir 200 juta tontonan. Kandungan sukan juga terus menarik minat penonton termasuk kejohanan PETRONAS Malaysia Open 2026 dan perlawan final Piala FA antara pasukan JDT dan Sabah yang berjaya menarik 6.1 juta penonton.

Selain dari bentuk kandungan yang menjadi sebahagian hidup rakyat, Astro terus memperkukuh hubungan dengan penonton melalui satu konsert berskala besar seperti Konsert Countdown KITA 2026 yang menghimpunkan lebih 143,000 pengunjung, selain pelbagai program khas musim perayaan.

Platform penstriman Sooka pula menunjukkan pertumbuhan ketara dengan 204 juta minit tontonan bulanan serta peningkatan 44 peratus pelanggan VIP berbayar. Astro turut memperluas kandungan digital melalui format baharu seperti mikro-drama dan kolaborasi kreatif bersama jenama.

Dari sudut kewangan keseluruhan FY26, Astro mencatat hasil RM2.8 bilion dengan EBITDA RM614 juta dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM63 juta. Kumpulan juga kekal menjana aliran tunai bebas sebanyak RM107 juta pada suku keempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Euan Smith berkata, kejayaan ini juga menunjukkan evolusi yang dibuat Astro sejak tiga dekad yang lalu sejajar dengan peredaran zaman.

“Ketika Astro memasuki tahun ke-30, ini merupakan masa yang tepat untuk mengimbas sejauh mana perjalanan kami dan bagaimana syarikat terus berkembang seiring dengan selera penonton serta komuniti. Sejak berdekad lalu, Astro telah melalui transformasi daripada televisyen satelit kepada sebuah platform hiburan kandungan dan digital yang bersepadu sepenuhnya, dan perjalanan untuk
maju bersama rakyat Malaysia ini terus membentuk strategi kami hari ini.

“Pada FY26, terdapat momentum yang memberangsangkan merentasi pelbagai bidang perniagaan. Kekuatan penceritaan tempatan kekal sebagai pembeza utama kami, dengan kandungan Malaysia terus mendapat sambutan hangat di dalam negara dan semakin berkembang di peringkat serantau. Ia sangat membanggakan melihat judul seperti Papa Zola The Movie: Game On mencapai 4.5 juta penonton di seluruh Asia Tenggara setakat ini.

“Kami juga mula melihat tanda-tanda pemulihan dalam pengiklanan merentasi televisyen, radio dan digital, di samping mengembangkan jejak digital kami. Platform penstriman kami, Sooka, terus mendapat sambutan, disokong oleh kandungan sukan, kandungan tempatan yang kukuh serta kerjasama strategik.

“Kami memantau dengan teliti perang di Timur Tengah yang terus memuncak. Dalam menghadapi latar belakang ini, kami percaya pakej Astro One yang berasaskan nilai berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang mampu milik, selamat dan dipercayai untuk pelanggan kekal mendapat maklumat sambil menikmati hiburan berkualiti tinggi. Kami kekal komited untuk memupuk industri kreatif yang lebih luas sambil melangkah maju bersama rakyat Malaysia ke
arah masa depan,” katanya.

Anda mungkin berminat dengan

Jordan Club Hat

Jordan Club Hat

Nike Sportswear Futura

Nike Sportswear Futura

Nike Dri-FIT Club

Nike Dri-FIT Club

Must-Watch Video

Advertisement