Sekilas
- Kira-kira 40 tetamu dari Rumah Ronald McDonald (RMHC Malaysia) berpeluang melawat studio Astro termasuk Studio Berita Awani, Astro Arena dan konti radio.
- Kanak-kanak dan keluarga mendapat pengalaman baru melihat suasana di sebalik tabir dunia penyiaran serta beramah mesra dengan pengacara Erra Fazira.
- Program ini memberi peluang kepada keluarga RMHC yang biasanya banyak menghabiskan masa di hospital untuk merasai pengalaman luar biasa dan melegakan tekanan emosi mereka.
Suasana sekitar Astro meriah dengan kehadiran kira-kira 40 tetamu daripada Rumah Ronald McDonald (RMHC Malaysia) yang berpeluang mengikuti lawatan khas ke bangunan penyiaran itu, Khamis lalu.
Lawatan berkenaan membabitkan keluarga serta kanak-kanak dari dua RMHC yang dibawa khas untuk merasai pengalaman luar daripada rutin harian mereka.
Antara aktiviti menarik sepanjang lawatan tersebut termasuk peluang melawat Studio Berita Awani, Studio Borak Seeni, Studio Astro Arena serta konti radio.
Lawatan itu turut memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak yang pertama kali melihat suasana sebenar di sebalik tabir dunia penyiaran.
Lebih menceriakan suasana, kanak-kanak yang hadir turut berpeluang beramah mesra dengan pengacara program Borak Seeni, Erra Fazira yang meluangkan masa berinteraksi dan menyantuni mereka.

Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin berkata, pihaknya amat menghargai inisiatif Astro Gempak yang memilih Rumah Ronald McDonald sebagai destinasi kebajikan menerusi program tersebut.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Astro Gempak kerana memilih Rumah Ronald McDonald sebagai destinasi kebajikan. Di samping aktiviti amal yang dilakukan di RMHC, hari ini kami diberi peluang membawa dua RMHC bersama keluarga untuk melawat Astro,” katanya.
Menurut Nasri, tanpa program sebegitu, peluang untuk keluarga dan kanak-kanak menikmati pengalaman berada di studio televisyen dan radio mungkin tidak dapat direalisasikan.
“Kalau tiada program Astro Gempak ini, peluang untuk keluarga mungkin tidak ada. Ini adalah salah satu peluang yang dibuka oleh Astro, terutamanya melalui Astro Gempak, untuk keluarga turut sama merasai pengalaman berada di Astro dan melawat studio TV serta konti radio,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan kanak-kanak yang menetap di RMHC menghabiskan banyak masa menjalani rawatan di hospital, justeru program luar seperti ini memberi sedikit kelegaan dan pengalaman baharu kepada mereka.
“Anak-anak ini kebanyakannya lebih banyak masa di hospital untuk rawatan. Jadi program luar seperti ini memberi pengalaman berbeza dan mungkin kali pertama mereka melihat suasana di studio-studio,” katanya.
Untuk makluman, RMHC menyediakan konsep ‘rumah jauh dari rumah’ bagi membantu keluarga yang terpaksa datang dari jauh ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan perubatan anak-anak mereka.
Kos rawatan perubatan kanak-kanak yang tinggi serta perbelanjaan penginapan di bandar besar sering memberi tekanan kewangan dan emosi kepada keluarga.
Justeru, RMHC diwujudkan bagi menyediakan penginapan berhampiran hospital agar ibu bapa dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada rawatan anak-anak mereka dalam suasana yang lebih selesa dan tenang.