Sekilas
- Eyra Hazali kecewa dengan sikap segelintir individu yang merokok di kedai makan walaupun ada kanak-kanak berhampiran.
- Eyra menegaskan bahawa merokok di tempat makan, terutama di mamak, tidak patut dilakukan kerana mengganggu orang lain.
- Aktres Syifa Melvin turut berkongsi rasa kecewa sama dan menegur sikap sesetengah individu yang tidak boleh menerima teguran.
Pelakon, Eyra Hazali meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang tidak sensitif dengan keadaan sekeliling ketika merokok di kedai makan.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Eyra hairan mengapa masih ada lagi individu yang tidak mengambil serius hal tersebut dan tetap merokok meskipun ada kanak-kanak berhampiran.
“Tak faham ke tak nak faham yang dekat kedai makan tak boleh merokok? Awak tahu sebelah meja awak ada budak dan masih nak teruskan merokok? Terutama dekat mamak,”tulisnya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, aktres Syifa Melvin turut berkongsi luahan yang sama. Malah, ada juga individu yang tidak boleh menerima teguran dan tergamak meminta untuk ibu bapa tidak membawa kanak-kanak keluar dari rumah.
“Kalau kita tegur, mereka akan kata tak perlu bawa anak keluar. Eh eh kahak sekali baru tahu,”ujarnya.