Berita
Azharina Jatuh Sakit, Peminat Risaukan Persembahan Duet Di GV5 Minggu Ini
Juara Gegar Vaganza musim ketiga Azharina memohon doa daripada peminatnya untuk kembali sihat seperti sediakala demi konsert keempat Gegar Vaganza 5 (GV5) minggu ini.
Malah, Azharina atau lebih mesra disapa Nina memuat naik gambar dalam keadaan lemah dan dirawat di sebuah klinik swasta di Taman Tun Dr. Ismail semalam.
"Doktor kesayangan semua, yang jaga Nina dan ramai artis lagi di Malaysia ni.
"Terima kasih doktor yang baik dengan Nina dan selalu jaga kesihatan Nina dalam apa keadaan sekali pun.
"Doakan Nina cepat sembuh ya semua," tulisnya di Instagram.
Bagaimanapun, entri itu mengundang resah dan risau dalam kalangan peminat yang menantikan persembahan duet bersama bintang GV5, Shafie Rio.
Pada konsert keempat minggu ini, Azharina dan Rio bakal menyanyikan lagu Ada Apa Dengan Cinta (nyanyian asal Melly Goeslaw dan Eric) sempena tema Bergegar Bergaung.
Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh disaksikan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.