Skip to main content

Berita

Bakal Timang Cahaya Mata Sulung & Kongsi Tarikh Lahir, Lelaki Maut Ditembak 8 Das Di Sungai Golok

lelaki maut ditembak

Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak sebanyak lapan das bakal menimang cahaya mata sulung sama tarikh hari lahirnya pada 10 Disember ini.

Anak keempat daripada enam beradik itu menetap di Sungai Golok, Thailand selepas berkahwin dengan isterinya, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, pada tahun 2023.

Advertisement

Ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, Mohd Fuad Fahmie bersama menantu menjalankan perniagaan barangan terpakai, beg jenama antarabangsa secara dalam talian.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada semalam (Sabtu). Dia ada pulang bersama isteri ke rumah ini.

"Menantu pula akan bersalin tidak lama lagi, kebetulan tarikh jangkaannya sama dengan kelahiran anak iaitu 10 Disember," katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Kepas Apam di sini pada Ahad.

Menurut dia, kejadian yang menimpa Mohd Fuad Fahmie diketahui sekitar jam 8.30 malam apabila dimaklumkan oleh menantu.

Ujar Zaiton, anaknya dikatakan ditembak di depan isteri di rumah mereka.

Dia dimaklumkan suspek telah berjaya ditangkap oleh Polis Thailand.

"Kami reda dengan apa yang berlaku. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Apam Surau selepas solat Zohor nanti," katanya.

Sinar Harian Online melaporkan seorang rakyat Malaysia yang parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand dilaporkan meninggal dunia pada malam Sabtu.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie yang berasal dari Kampung Kepas Apam di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak lapan kali.

Menurut ibunya, Zaiton, dia dimaklumkan tentang kematian anaknya itu oleh menantu, Wan Fatihah kira-kira jam 9 malam.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement