Skip to main content

Berita

Balu Mangsa Rempuhan Di Klang Harap Ada Perubahan Hukuman, Akta

TB Mohammad Azman Aziz PERKESO BERNAMA

Sekilas

  • Nor Nadia Abdul Majid berharap hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah selepas kematian suaminya dalam kemalangan di Klang.
  • Beliau menerima bantuan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat daripada PERKESO yang membantu kelangsungan hidup anak-anaknya.
  • Pemandu yang terlibat kini dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh dan memasukkan dadah ke dalam badan mangsa.

Balu kepada lelaki yang maut selepas dirempuh di Klang baru-baru ini, mengharapkan akan ada perubahan dari segi hukuman dan akta bagi membolehkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dikenakan hukuman lebih berat agar tiada kes serupa berlaku seperti menimpa suaminya.

Nor Nadia Abdul Majid, 32, menyifatkan pemergian suaminya Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, mempunyai hikmah tersendiri dan berharap agar masyarakat mengambil iktibar daripada insiden itu.

“Insya-Allah, saya berdoa agar ada perubahan dari segi hukuman dan akta," katanya kepada pemberita di kediamannya di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 pada Jumaat. 

Terdahulu, Nor Nadia menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang menyampaikan Pencen Penakat selain Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000. 

Ibu kepada tiga anak itu berkata sumbangan daripada orang ramai itu banyak membantu dari segi emosi dan kelangsungan hidup anak-anaknya.  

"Rakyat Malaysia memang prihatin. Saya pun kena bangkit… tidak boleh bersedih lagi. Anak-anak masih kecil,” katanya yang berharap dapat membuka kedai menjual pakaian terpakai seperti diimpikan.

Nor Nadia berkata anak-anaknya masih merindui bapa mereka dan menziarahi kubur setiap hari. 

Bagi urusan perpindahan sekolah anaknya ke kampung halamannya di Taiping, Perak, dia menjangkakan dapat diselesaikan dalam minggu depan.

Amirul Hafiz maut selepas motosikalnya dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Klang, pada 11.47 pagi Ahad lepas. 

Pada Rabu, seorang pembantu makmal R. Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz dan memasukkan dadah ke dalam badan. 

Sumber: Astro AWANI menerusi BERNAMA

Anda mungkin berminat dengan

HABIB Songket Collection

HABIB Songket Collection

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

ATLAS G5 HD Screen Macaron Handheld Game Console Mini Arcade 500 Game Charging Portable Game Players Game Box

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

POH KONG 999.9 Pure Yellow Gold 1/4 Dinar

Corolla Soft New Shoes

Corolla Soft New Shoes

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

SHEGLAM Glowchi Bouncy Highlighter

Must-Watch Video

Advertisement