Skip to main content

Selebriti

Banduan Raih Filem Terbaik Antarabangsa IFFA 2025, Penerbit Terima Lebih Banyak Tawaran Kolaborasi Produksi India - "Usaha Keras Kami Berbaloi..."

Banduan IFFA

Penerbit, Kalyana Devan akui tidak menyangka kemenangan besar yang diraih filem Banduan selepas dinobatkan sebagai Filem Terbaik Antarabangsa di International Film Festival of Australia (IFFA) 2025 pada Sabtu.

Menurut Kalyana, pengiktirafan itu membuktikan segala usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil, sekali gus membuatkannya lebih bersemangat menantikan perkembangan filem tempatan menjelang 2026.

"Sudah sebulan sejak kami keluarkan Banduan. Kami tak sangka boleh menang. Saya sangat teruja. Datuk Rosyam Nor turut memenangi Pelakon Pembantu Terbaik. Saya rasa filem Malaysia telah semakin dikenali. Saya tak sabar untuk tahun 2026 untuk semua filem Malaysia.

"Semua usaha keras kami berbaloi bila ia diiktiraf. Ini betul-betul kerja berpasukan dan bila nampak hasilnya, kami sangat gembira," katanya Ketika dihubungi Gempak.

Bagaimanapun, kejayaan Banduan turut memberi sedikit tekanan kepada Kalyana untuk memastikan karya seterusnya mampu memenuhi jangkaan penonton.

"Saya akui sedikit tertekan untuk menghasilkan karya yang lebih baik. Selepas menang, ramai mula datang dan harapkan kami terus maju dan cuba benda baharu," ujarnya.

Jelasnya, industri perfileman Malaysia kini semakin diberi perhatian, dan sudah tiba masanya lebih banyak karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

"Saya rasa kita perlu tembus pasaran global kerana orang ramai mula memberi tumpuan pada wayang Malaysia dan saya rasa kita perlu buat lebih banyak filem aksi dan seram," tambahnya.

Dalam masa yang sama, Kalyana memaklumkan bahawa mereka belum merancang projek baharu buat masa ini namun sedang menilai beberapa potensi kerjasama dengan pihak luar, terutamanya dari India.

"Kami belum rancang projek baru sekarang, tapi kami pertimbangkan kolaborasi pada 2026. Kemungkinan akan lebih banyak kolabrasi bersama negara India. Apabila selesai sahaja Banduan, baru kami gerak ke projek seterusnya," jelasnya.

Tambahnya lagi, kehadiran pelakon India terkenal, Karthi pada malam anugerah itu turut menarik perhatian ramai, dan Kalyana menjelaskan bahawa beliau hadir sebagai tanda sokongan terhadap filem adaptasi tersebut.

"Karthi ada bersama kami ketika anugerah itu sebab ini adalah adaptasi daripada Kaithi. Jadi dia hadir untuk tunjukkan sokongan. Rakaman semula dalam industri India memang biasa, tapi di luar India sangat jarang, mungkin pertama atau kedua kali. Mereka nampak Banduan sebagai peluang baru," katanya lagi.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement