Skip to main content

Filem

Banduan: Terima 'Warning' Dari Peminat Fanatik Kaithi, Kroll Azry Kekal Tenang - "Mereka Cuma Nak Kita..."

Kroll Azry Warning

Ringkasan AI

  • Pengarah filem Banduan, Kroll Azry, menerima pelbagai mesej daripada peminat fanatik filem Kaithi yang memberi peringatan agar adaptasi Malaysia tidak merosakkan karya asal.
  • Kroll memahami kerisauan peminat dan mengambilnya secara positif sebagai motivasi untuk menghasilkan karya terbaik.
  • Filem Banduan telah mencatat kutipan lebih RM3 juta sejak tayangan pada 6 November lalu dan mendapat sambutan hangat daripada penonton pelbagai bangsa.
  • Kroll menyeru masyarakat Malaysia terus menyokong filem tempatan demi memajukan industri filem negara.
  • Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu polis menumpaskan sindiket dadah dan menampilkan pelakon terkenal seperti Datuk Aaron Aziz dan Datuk Rosyam Nor.

Pengarah filem Banduan, Kroll Azry mendedahkan bahawa dia menerima pelbagai mesej daripada peminat fanatik filem Kaithi baru-baru ini.

Menurutnya, mesej-mesej tersebut lebih kepada peringatan agar filem adaptasi arahannya tidak merosakkan karya asal dari India itu.

Bagaimanapun, dia memahami kerisauan peminat tersebut dan memandang perkara tersebut ke arah positif.

“Ada juga yang hantar mesej macam beri amaran, tapi nadanya tak jelas. Sebenarnya, mereka cuma nak kita jaga filem mereka, bukan rosakkan. Peminat fanatik paling takut bila ada remake, sebab risau tak jadi sehebat Kaithi. 

"Tapi benda tu buat saya lebih semangat nak buktikan yang Malaysia pun boleh buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui Gempak.

Kroll berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri sambutan kejayaan filem Banduan bertempat di Pavillion Bukit Bintang pada Selasa.

Susulan kutipan lebih RM3 juta sejak mula ditayangkan, Kroll turut meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa daripada penonton serta menyeru agar masyarakat terus menyokong karya tempatan.

"Alhamdulillah saya sangat beryukur dan tak sangka dapat sambutan yang amat menggalakkan dari penonton terutama bila pergi buat road tour boleh nampak semua bangsa meraikan filem ini. 

"Saya harap rakyat Malaysia terus menyokong filem Malaysia tak kisah dari sesiapa sahaja bagi memajukan industri filem Malaysia," ujarnya.

Filem arahan Kroll Azry ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.

Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.

Filem aksi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.

Must-Watch Video

Advertisement