Skip to main content

Alam Sekitar

Banjir: Calon SPM Tinggalkan Buku, Kelengkapan Sekolah

banjir

Sekilas

  • Calon SPM di Kelantan terpaksa tinggalkan buku dan kelengkapan peperiksaan di rumah selepas banjir naik mendadak sehingga 0.6 meter.
  • Mereka mengulangkaji menggunakan telefon di pusat pemindahan sementara yang ada bekalan elektrik dan internet laju.
  • Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 8,231 orang di 33 PPS setakat ini.

Calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) terpaksa meninggalkan buku, kelengkapan peperiksaan di rumah untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, Kelantan, selepas air naik terlalu cepat sehingga mencecah 0.6 meter pada Sabtu.

Nik Mohd Idham Nik Abdul Rahim, 17, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata, dia hanya tinggal sehelai sepinggang kerana banjir kali ini berlaku di luar kawalan.

"Saya tidak sempat buat persiapan dan tidak sangka akan menjadi mangsa banjir, kerana sebelum ini keadaan tidak seteruk sekarang.

"Sepanjang di PPS saya hanya mampu mengulangkaji menggunakan telefon, mujurlah di sini ada bekalan elektrik serta pencapaian internet laju," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Tapang.

Menurut calon SPM itu, dia kini berdebar memikirkan akan menduduki peperiksaan pada Selasa.

Ujarnya, dia terpaksa mencari sudut yang tenang serta tanpa gangguan di PPS untuk mengulangkaji.

"Baju serta kelengkapan lain berada dalam keadaan baik, cuma kasut basah.

"Lebih membimbangkan lagi apabila memikirkan laluan ke sekolah juga dinaiki air, harap pada hari peperiksaan cuaca semakin baik," katanya.

Bagi Mohd Faris Aiman Mohd Azri, 17, calon SPM di SMK Tanjong Mas di sini memberitahu, dia juga terpaksa mengulangkaji melalui telefon.

Ujarnya, guru telah menghantar nota melalui WhatsApp dan ia banyak membantu sepanjang berada di PPS.

Walaupun ulangkaji guna telefon dan buku tidak sama tapi ia dapat mengurangkan rasa berdebar untuk menduduki peperiksaan esok (Selasa).

"Banjir kali ini air naik terlalu cepat, saya tidak sempat untuk bawa buku-buku bersama," katanya yang hanya sehelai sepinggang semasa menyelamatkan diri ke PPS SK Tapang di sini.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,231 orang yang kini ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement