Sekilas
- Cik Epal dedahkan banyak barang miliknya dibuang dan dijual oleh bekas suami, Jofliam.
- Dia memilih untuk reda dan menyerahkan segala yang berlaku kepada ketentuan Allah.
- Cik Epal dan Jofliam bercerai pada Oktober 2024 selepas 10 tahun berkahwin dan mempunyai dua anak.
Pempengaruh dan usahawan, Cik Epal mendedahkan banyak barang miliknya telah dibuang dan dijual yang didakwa dilakukan oleh bekas suaminya, Jofliam.
Menerusi perkongsian di Threads, Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud berkata, masih banyak barang miliknya yang tidak dapat diambil semula.
“Banyak sahaja barang aku yang tak dapat balik. Ada yang dibuang dan ada juga barang aku yang dijual,”tulisnya.
Cik Epal bagaimanapun memilih untuk reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.
“Yang hilang, kita reda. Yang terpaksa dilepaskan, kita lepaskan. Yang masih belum kita faham hikmahnya, kita serahkan pada Allah. Sebab kita mungkin nampak apa yang hilang hari ini tetapi Allah dah tahu apa yang dia gantikan esok.
“Yakin sahaja. Kalau Allah yang ambil, pasti Allah juga tahu apa yang lebih indah untuk diberikan selepas ini,”ujarnya.
Sekadar info, Cik Epal dan Jofliam mengumumkan perceraian pada Oktober 2024 selepas mendirikan rumah tangga pada 2014.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Han dan Yuki.