Sekilas
- Bapa kepada Nur Haira Watikah yang cedera akibat digigit anjing liar di Batu Pahat mohon orang ramai tidak sebarkan gambar kecederaan anaknya kerana ia mengganggu emosi keluarga.
- Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Fared Khalid, menyeru orang ramai menghormati privasi keluarga dan hentikan perkongsian gambar tersebut.
- Kerajaan Johor melalui MAINJ memberi sumbangan RM1,000 dan akan menanggung kos rawatan serta pemulihan Nur Haira sepenuhnya.
Bapa kepada kanak-kanak yang parah dipercayai digigit anjing liar di Batu Pahat, Johor berhqrap orang ramai tidak menyebarkan gambar memaparkan kecederaan anaknya, Nur Haira Watikah di media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik TikTok Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap Fared Khalid, bapa bernama Mohammad Hamizi itu memaklumkan bahawa gambar-gambar tersebut memberi kesan terhadap emosinya sehingga dia sendiri tidak mampu untuk melihat keadaan anaknya.
“Saya minta pada semua yang ada gambar kecederaan anak saya, minta diturunkan. Itu sangat mengganggu emosi saya. Saya sendiri tidak sanggup nak melihat. Tolong jangan sebarkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah menyeru orang ramai agar menghormati privasi keluarga Hamizi dengan tidak lagi berkongsi gambar kecederaan kanak-kanak terbabit.
“Perkongsian tersebut tidak langsung menunjukkan keprihatinan kita, sebaliknya menambah rasa pedih di hati keluarga. Tambahan lagi, anak itu di bawah umur. Jika kita sayang pada anak ini, tolong turunkan gambar tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menghulurkan sumbangan tunai berjumlah RM1,000 kepada keluarga Nur Haira.
Kerajaan negeri juga mengambil tanggungjawab untuk menanggung sepenuhnya kos rawatan serta proses pemulihan kanak-kanak terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi pada Sabtu lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Akibat serangan itu, Nur Haira mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: TikTok