Sekilas
- Joshua Harris, kanak-kanak autistik dari UK, memulakan kempen ‘Cake Not Hate’ untuk menyebarkan mesej kasih sayang dan perpaduan merentasi agama dan budaya.
- Kempen ini bermula selepas serangan ke atas sebuah masjid di Peterborough dan kini telah melibatkan kunjungan ke lebih 180 masjid di pelbagai negara dengan membawa kek sebagai simbol persahabatan.
- Menteri Dr. Zulkifli Hasan memuji inisiatif Joshua sebagai contoh bagaimana tindakan kecil boleh membawa perubahan besar dalam membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.
Joshua Harris mencuri perhatian menerusi kempen ‘Cake Not Hate’ yang membawa mesej kasih sayang, perpaduan dan keharmonian merentasi agama serta budaya.
Joshua atau lebih dikenali sebagai The Joshie Man merupakan individu autistik yang tidak bertutur (non-speaking autistic) dan menggunakan minat mendalamnya dalam menghasilkan kek sebagai medium untuk berkomunikasi dengan masyarakat.
Kisah inspirasi Joshua turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang menerima kunjungan hormat kanak-kanak berkenaan bersama keluarganya, baru-baru ini.
Menariknya, kempen ‘Cake Not Hate’ yang digerakkan Joshua bersama bapanya, Dan Harris, bermula secara spontan selepas sebuah masjid di Peterborough diserang oleh pelampau sayap kanan.
Sebagai tanda solidariti dan menolak kebencian, Joshua bersama bapanya mengambil keputusan membawa kek buatan sendiri ke masjid berkenaan.

Siapa sangka, tindakan kecil tersebut kemudiannya berkembang menjadi satu gerakan yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, Joshua dan keluarganya telah mengunjungi lebih 180 buah masjid di pelbagai negara dengan membawa kek hasil air tangannya sebagai simbol persahabatan dan kasih sayang.

Menurut Dan, anaknya mempunyai kecintaan luar biasa terhadap masjid selain sentiasa berasa tenang setiap kali berada di rumah Allah.
Mengulas mengenai kisah Joshua, Dr. Zulkifli menyifatkan apa yang dilakukan kanak-kanak tersebut sebagai bukti bahawa perubahan besar mampu bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan dengan penuh keikhlasan.
“Kempen ‘Cake Not Hate’ membuktikan kasih sayang, empati dan saling menghormati merupakan bahasa sejagat yang mampu meruntuhkan tembok kebencian serta menyatukan masyarakat,” katanya.

Menurut Dr. Zulkifli, inisiatif sedemikian wajar dijadikan inspirasi dalam usaha membina dunia yang lebih harmoni, inklusif dan saling memahami terutama dalam kalangan masyarakat berbilang agama serta budaya.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya terus menyebarkan nilai murni dalam kehidupan seharian dengan memperbanyakkan amalan saling menghormati, menyantuni sesama insan dan memperkukuhkan hubungan antara komuniti.
“Marilah kita terus sebarkan kebaikan, sebarkan salam dan sebarkan kasih sayang, kerana setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas mampu menjadi jambatan yang menyatukan hati serta menyemai keamanan dalam masyarakat,” katanya.