Berita
Belanja Tinggi Dari Untung, Adibah Noor Risau Nak Anjur Konsert
Penyanyi Adibah Noor akui risau dan berat hati untuk menganjurkan konsert sekali lagi selepas berakhirnya penganjuran Into 3rd Decade, Mini Concert, Oktober lalu.
Adibah berkata dia berasa berat hati untuk menganjurkan konsert sekali lagi kerana kos perbelanjaan lebih tinggi berbanding keuntungan yang diperoleh.
“Susahlah sekarang nak buat konsert, keadaan ekonomi pun semakin tidak menentu banyak duit keluar tapi untungnya tidak memberangsangkan.
“Ikut perancangan sepatutnya konsert itu dianjurkan di 2 buah negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor tapi tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu.
“Secara jujurnya memang susah dan saya rasa bukan saya seorang tetapi penyanyi-penyanyi lain turut alami perkara yang sama,” kata Adibah kepada Astro Gempak baru-baru ini.
Tambah Adibah lagi, walaupun konsertnya itu tidak memberi keuntungan daripada segi kewangan tetapi dia puas membuat persembahan bersama penyanyi lain.
Malah ia merupakan hadiah yang terbaik buat peminatnya yang tidak henti-henti memberi sokongan.
“Alhamdulilah, saya dikurniakan kesihatan yang baik sehingga mampu menyanyikan 22 buah lagu tanpa henti.
“Saya puas pada malam itu dapat menghiburkan semua penonton yang hadir sudi keluarkan duit untuk menyaksikan persembahan saya.
“Terima kasih banyak yang tak terhingga kepada mereka, sokongan anda memang terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adibah bakal muncul sebagai juri tetap program terbaru Astro, Duo Star yang akan mula bersiaran 25 Disember ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap Ahad pukul 9 malam.