Skip to main content

Selebriti

Belum Move On? KRU Buat Lagi Konsert GenKRU The Finale: One More Time November Ini

KRU KONSERT FINALE

KRU sekali lagi bakal menggegarkan pentas dengan persembahan berskala besar menerusi GenKRU The Finale: One More Time, yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 22 November ini.

Konsert anjuran Icon Entertainment itu dijangka menghimpunkan lebih 12,000 peminat dari seluruh negara, dengan konsep persembahan yang berbeza berbanding siri terdahulu.

Advertisement

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata idea untuk menganjurkan konsert ini tercetus tidak lama selepas lima siri GenKRU, termasuk di Singapura, menerima sambutan luar biasa daripada peminat.

“Penganjuran konsert ini sebenarnya tak ambil masa yang lama. Kebetulan nama One More Time itu adalah salah satu trek dalam album terbaharu KRU, Kaset. Namun, ia juga membawa makna ‘satu kali lagi’.

“Memang ramai yang minta untuk kami bawa ke negeri lain termasuk jelajah untuk konsert GenKRU. Tapi, kami fikir sukar untuk bawa ke luar selain Kuala Lumpur kerana mengambil kira faktor harga tiket dan nilai produksi.

“Saya suka Stadium Hoki Nasional dan kami mahu cuba di venue terbuka ‘outdoor’ kerana lebih banyak idea boleh dibuatkan.. Mungkin kalau ada rezeki dan semua sihat kita akan pergi ke venue lebih besar selepas ini.

“Sebenarnya seperti konsert GenKRU sebelum ini, kalau ini baik mungkin akan sambung ke hari seterusnya tapi masih belum tahu lagi. Kami bukan hendak kejar pengiktirafan kerana persembahan lagi penting,” katanya ketika ditemui Gempak pada sidang media konsert berkenaan di Dadi Cinema Pavilion Bukit Bintang, hari ini.

Sementara itu, anggota KRU, Norman Abdul Halim berkata konsert berkonsepkan 90’s ini diadakan kerana masih ramai peminat yang tidak sempat membeli tiket pada konsert sebelum ini.

“Kami fikir sebab ramai yang cakap tak dapat tengok lagi, jadi baik untuk kami buat sekali lagi. Cuma kali ini kami mahu buat ‘re-imagine’. Jika sebelum ini tertutup, sekarang terbuka. Jadi, kami fikir untuk buat lebih lagi.

“Saya difahamkan ini kali pertama untuk artis solo buat persembahan di lokasi itu, jadi kami merancang untuk jayakan dengan lebih baik.

“Kami bersedia buat kebih baik kerana asas sudah ada. Kami ‘re-imagine’ konsert ini untuk skala berbeza dengan elemen lain yang sebelum ini kami tak boleh buat ketika di lokasi tertutup,” jelasnya.

Tiket GenKRU The Finale: One More Time akan mula dijual pada Jumaat ini, jam 2 petang dengan harga antara RM188 hingga RM558.

Sekadar rekod, konsert GenKRU yang berlangsung pada 3, 4, 10 dan 11 Mei lalu di Axiata Arena Bukit Jalil telah melakar sejarah apabila mendapat dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) iaitu  Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert serta Penjualan Tiket Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement