Sekilas
- Imran Ajmain meluahkan rasa kurang senang terhadap individu yang hanya menghantar salam tanpa tujuan jelas di media sosial.
- Beliau menggalakkan orang ramai supaya terus berterus terang dalam mesej tanpa menunggu balasan satu persatu.
- Netizen turut berkongsi rasa tidak puas hati terutama apabila menerima mesej dari nombor yang tidak dikenali.
Penyanyi Imran Ajmain meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir individu yang gemar mengirim salam di media sosial tanpa menyatakan tujuan sebenar.
Menerusi perkongsiannya di Threads, Imran menggalakkan orang ramai supaya terus jelas dengan mesej yang ingin disampaikan tanpa menunggu balasan satu persatu.
"Saya sangat galakkan bila nak hantar mesej pada seseorang sama ada direct message (DM) Instagram atau menerusi Whatsaap (WA), sila cakap dengan jelas dan berterus-terang," tulisnya.
Pelantun lagu Seribu Tahun Lagi itu turut menegaskan bahawa cara sedemikian hanya membuatkan mesej berpotensi tidak dibalas atau kena 'sidai'.
"Jika hanya sekadar memberi salam dan menunggu orang untuk membalas, kemudian baru nak buka cerita, memang potensi yang tinggi untuk kena sidai," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati, terutama bila ia datang daripada nombor yang tidak dikenali.
