Sekilas
- Datuk A.Aida berkongsi pengalamannya berada dalam keadaan koma akibat komplikasi lutut pada November lalu.
- Semasa koma, dia merasakan dirinya berada di antara hidup dan mati serta berdoa agar dipermudahkan pemergiannya kerana kesakitan yang dialami.
- A.Aida rebah selepas sesi fisioterapi dan dirawat di ICU akibat komplikasi pembedahan lutut di hospital swasta.
Penerbit Datuk A.Aida berkongsi pengalamannya ketika sedang berada dalam keadaan koma akibat komplikasi lututnya pada November lalu.
Menerusi perkongsian di sebuah program podcast, A.Aida berkata bahawa keadaannya ketika itu seolah-olah berada di antara hidup dan mati.
"Mati adalah sakit. Memang betul, saya tak tahu sewaktu koma itu sama ada saya mati atau tidak.
"Tapi ustaz cakap, saya ini berada antara dua alam, seperti hendak pergi atau mahu balik semula," katanya.
Dalam masa sama A.Aida turut berkongsi bahawa dia terasa seperti berada di langit sambil berdoa kepada Allah untuk permudahkan pemergiannya kerana tidak mampu untuk menahan rasa sakit lagi.
"Semasa koma, memang saya rasa seperti berada di atas langit yang berwarna putih. Saya pakai baju yang berambu-rambu panjang dan berwarna hitam.
"Saya berputar pada bahagian atas dan memang terasa amat sakit sampai saya berdoa, ‘Ya Allah, kau ampunilah dosa yang aku buat ini, Ya Allah, ambilah nyawa aku, aku sudah tidak boleh, kerana sakit ini, Ya Allah,’" ujarnya.
Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat komplikasi pembedahan lutut di sebuah hospital swasta pada November tahun lalu.