Berita
Berada Di MLM 2017, Bagaikan Mimpi - Mad Sabah
Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Mad Sabah, mengakui masih tidak percaya berjaya melayakkan diri berada di pentas program tersebut.
Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 29, berkata, dia berbangga dengan dirinya walaupun telah tersingkir pada minggu ke-3.
"Secara jujurnya saya memang tidak percaya mampu berada di pentas lawak terbesar di Malaysia ini.
"Ini kerana sebagai budak kampung yang tinggal di pedalaman, ia merupakan satu kejayaan besar terhadap diri saya terutamanya masyarakat di Sabah.
"Bagi saya, dapat berada di MLM 2017 pun sudah menjadi kebanggan kepada diri sendiri dan bila dapat bertahan sehingga minggu ketiga itu merupakan bonus bagi orang kampung seperti saya ini," katanya kepada Gempak.
Tambah Mad, tersingkir pada minggu ketiga di MLM 2017 bukan merupakan halangan untuknya terus berkarya menghasilkan lawak-lawak yang lebih berkualiti pada masa depan.
"Saya harus belajar lagi dalam memperbaiki mutu persembahan pada masa akan datang dengan idea-idea yang lebih menarik," tuturnya.
MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap
iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.
MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap
Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan
Mustika HD (134).
Teks Oleh: Rozaimi Zuabidi