Seorang lelaki di sebuah kampung di daerah Tirupati, Andhra Pradesh bertindak luar biasa apabila menggigit kepala seekor ular tedung hitam selepas dipatuk reptilia berbisa itu.
Insiden itu berlaku pada Khamis malam di Kampung Chiyyavaram, Thottambedu Mandal. Mangsa, dikenali sebagai Venkatesh, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum dipatuk ular berkenaan.
Advertisement
Dalam keadaan mabuk, Venkatesh dilaporkan menangkap ular tersebut lalu menggigit kepalanya hingga mati. Lebih mengejutkan, dia membawa pulang bangkai reptilia itu dan tidur di sebelahnya.
Namun sekitar tengah malam, keadaan kesihatannya mula merosot apabila bisa ular merebak ke seluruh tubuh. Panik dengan keadaan itu, ahli keluarga segera membawanya ke Hospital Kawasan Srikalahasti untuk rawatan kecemasan.
Berikutan keadaannya yang semakin kritikal, Venkatesh dipindahkan ke Hospital Ruia di Tirupati pada pagi Jumaat bagi mendapatkan rawatan lanjut. Doktor memaklumkan dia kini ditempatkan di bawah pemantauan rapi.
Penduduk kampung menyifatkan insiden itu sebagai 'sukar dipercayai' dan 'menyeramkan', manakala pihak berkuasa tempatan menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri jika berdepan dengan haiwan berbisa.
Sumber: Sinar Harian